Dua Tahun Kerajaan Madani, Terus Bicara Suara Malaysia Ke Pentas Antarabangsa – Azhar

KUALA LUMPUR, 18 Nov – Dua tahun Kerajaan Perpaduan memperlihatkan kestabilan politik dicapai dalam membawa negara ke arah ekonomi mampan, selepas melalui ketidaktentuan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bagi Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad, beliau melihat komitmen kerajaan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam memberi tumpuan kepada pembasmian kemiskinan dan penstrukturan semula masyarakat.

Malah katanya suara negara juga dibawa ke peringkat antarabangsa terutama membabitkan pendirian Malaysia terhadap kezaliman yang berlaku di Gaza.

“Apa tak baik lagi PMX dan TPM pada waktu ini? Bercakap bukan dalam kandang tetapi bercakap di pentas antarabangsa. PM contohnya bercakap di China, Mesir, Arab Saudi dan di seantero dunia, berbicara soal keamanan sejagat.

“Membelasah Israel kerana kita benci perbuatan mereka yang kejam melakukan pembunuhan beramai-ramai dan sebagainya.

“Inilah pemimpin yang kita kendaki, Malaysia walaupun nun jauh di negara yang kecil di ufuk timur tetapi suara kita hari ini telah didengar di seantero dunia.

“Itulah kehebatan Malaysia bersuara, orang lihat kerajaan Madani kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dan sebagainya. Jadi apa kebencian (pembangkang) mereka kepada kita? Kerana kebencian mereka mencemburui kehebatan kerajaan Madani hari ini,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Terdahulu, Datuk Seri Anwar menerima penghormatan tertinggi Peru, El Sol Del Peru yang bermaksud ‘Mentari Peru’ yang menjadikannya satu lagi pengiktirafan antarabangsa kepada kepimpinan Malaysia. Anugerah berprestij ini adalah penghormatan sivil tertua di benua Amerika yang diwujudkan pada 1821 selepas Peru mencapai kemerdekaan dari Sepanyol, menjadikannya simbol bersejarah dalam diplomasi antarabangsa.

Manakala Datuk Seri Ahmad Zahid pula mengadakan lawatan rasmi ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 13 hingga 19 November ini diiringi oleh pegawai kanan daripada kementerian dan agensi berkaitan, serta wakil-wakil daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia.

Lawatan rasmi ini merupakan lawatan peringkat tinggi pertama antara kedua-dua negara pada tahun 2024 selepas lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu pada Oktober tahun lalu.

Azhar yang juga Ahli Dewan Negara dalam pada itu turut menyentuh berkenaan harapan beliau untuk Kerajaan Perpaduan terus hebat memperkasa negara melalui ekonomi di samping usaha meningkatkan pendapatan rakyat.

Katanya ini kerana rakyat menilai kesungguhan kerajaan melalui pelan-pelan pembangunan demi manfaat kepada mereka tanpa kira mengenal lapisan masyarakat yang sudah tentunya membawa kesan kepada generasi akan datang.

“Kerajaan Perpaduan ini yang penting terus bekerja untuk rakyat. Biarlah fitnah dan tohmahan mereka yang penting kejahatan mereka itu dibalas baik oleh kerajaan Madani.

“Kalau kita buat baik bantu rakyat, tak sombong, insya-Allah akan peroleh kemenangan kerana akhirnya rakyat akan memilih kestabilan.

“Saya menyeru kepada semua pemimpin kerajaan Madani bekerja kuat untuk rakyat,  sentiasa merendah diri dan sentiasa dekat dengan rakyat. Insya-Allah rakyat akan membalas budi baik kepada kita kembali,” ujar beliau. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit