Ahli UMNO Lebih Terbuka, Kerajaan Perpaduan Bukti Kerjasama Demi Rakyat – Nur Atiqah

KUALA LUMPUR, 18 Nov – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Wilayah Persekutuan, Nur Atiqah Najihah Hairudi berpandangan rakyat terutama ahli UMNO kini lebih terbuka dan semakin matang menerima pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang sudah menjangkau dua tahun mentadbir kerajaan.

Menurut beliau ini kerana penyertaan UMNO dalam kerajaan Perpaduan penting bagi membawa suara dalam menjaga kepentingan orang Melayu, agama Islam dan Raja-raja.

“Melihat kepada perkembangan UMNO sepanjang dua tahun dalam Kerajaan Perpaduan ini, kemenangan Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri dan Mahkota membuktikan UMNO semakin mendapat kepercayaan rakyat dalam mentadbir Kerajaan Perpaduan.

“Saya percaya semua ahli UMNO di setiap peringkat kini lebih matang dan lebih terbuka kepada Kerajaan Perpaduan ini.

“Parti Dap yang pada awal pembentukan Kerajaan Perpaduan ini menjadi kebimbangan bangsa Melayu kita telah membuktikan kerjasama yang baik dan kesungguhan mereka membantu memenangkan calon UMNO dimana hampir 90 peratus pengundi Dap keluar mengundi.

“Harapan saya agar setiap parti di dalam Kerajaan Perpaduan dapat menghormati antara satu sama lain dan memberikan komitmen parti kepada Kerajan Perpaduan agar dapat bergerak seiring bagi mencapai matlamat yang sama bagi memastikan kelangsungan kestabilan politik, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Segambut dalam pada itu berkata bagi memastikan UMNO terus relevan, pandangan dibawa sayap parti seperti Pergerakan Pemuda dan Puteri perlu diambil kira oleh kepimpinan parti.

Menurut Nur Atiqah ini kerana sayap ini merupakan barisan hadapan kelompok muda negara ini bagi memastikan aspirasi mereka disampaikan sebaiknya.

“Pada masa yang sama UMNO perlu lebih peka dengan ideologi-ideologi segar yang diperkenalkan oleh sayap Pemuda dan Puteri yang dikira masih didalam proses pemulihan dan kebangkitan demi kelangsungan parti,” ujar beliau. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit