Ahmad Zahid Ingatkan Rakyat Sentiasa Waspada, Luruan Monsun 19 November Ini

KUALA LUMPUR, 15 Nov – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan rakyat Malaysia untuk berwaspada dengan luruan monsun yang dijangka berlaku pada minggu hadapan iaitu 19 hingga 23 November ini.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata ia berdasarkan ramalan cuaca daripada Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) yang boleh juga disemak di laman web, media sosial atau melalui aplikasi myCuaca.

“Saya ingin mengingatkan seluruh rakyat Malaysia untuk berwaspada dengan luruan monsun yang dijangka berlaku pada 19 hingga 23 November ini.

“Berdasarkan ramalan cuaca daripada MET Malaysia, luruan monsun bakal melanda timur Semenanjung dan timur Sabah dengan potensi hujan lebat berterusan yang melibatkan negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.

“Dalam tempoh ini, kawasan perairan Laut China Selatan juga dijangka menghadapi angin kencang serta laut bergelora,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam pada itu Ahmad Zahid yang pada ketika ini berada di Abu Dhabi untuk lawatan kerja turut sama berkongsi kehadirannya ke Abu Dhabi Centre for Technical and Vocational Education and Training (ACTVET), katanya ia dilihat membuka peluang besar untuk memperkukuh kerjasama dengan Majlis TVET Negara (MTVET) dalam memajukan sistem pendidikan vokasional di negara.

Katanya kerjasama ACTVET dan Malaysia selama lebih 15 tahun telah memberi manfaat besar, terutamanya melalui pertukaran pelajar dan kemahiran dalam memartabatkan pendidikan vokasional sebagai laluan kerjaya yang mampan.

“Melalui pendekatan mereka, pendidikan vokasional telah diubah menjadi pilihan yang dihormati dan mendapat pengiktirafan global seperti WorldSkills.

“Dengan pengambilan pelajar yang bermula seawal usia 11 tahun, ACTVET berjaya melahirkan generasi yang memiliki kemahiran tinggi serta keyakinan yang kuat dalam bidang vokasional,” ujar beliau.

Menurut beliau lagi, Malaysia turut berminat untuk mempelajari kepakaran ACTVET dalam latihan Kenderaan Elektrik (EV) dan mahu ianya diterapkan ke dalam kurikulum TVET di Malaysia.

Menerusi usaha ini, beliau juga berharap untuk membangunkan sistem TVET berkualiti tinggi yang bukan sahaja membekalkan kemahiran praktikal tetapi juga membentuk kebanggaan dan keyakinan kepada mereka yang memilih laluan ini.

“Kita juga berhasrat untuk memperkukuhkan kerjasama ini dengan mewujudkan lebih banyak program latihan bersama, pertandingan kemahiran dan pertukaran pengetahuan.

“Semoga TVET Malaysia menjadi sumber kebanggaan negara dan mewujudkan daya saing global dalam bidang kemahiran teknikal dan vokasional. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit