Lawatan Kerja: Malaysia Berpotensi Eksport RM4.8 Bilion Ke Mesir – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 13 Nov – Malaysia berpotensi untuk membawa RM4.8 bilion eksport ke Mesir, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menerusi hantaran di laman Facebook beliau memaklumkan, misi lawatan kerja ke Mesir pada kali ini membuka peluang perdagangan besar terutamanya dalam sektor-sektor berinovasi tinggi.

“Misi ke Mesir kali ini membuka peluang perdagangan yang besar khususnya dalam sektor-sektor inovasi bernilai tinggi yang digariskan di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia (#NIMP2030).

“Syarikat-syarikat Mesir turut menyatakan minat untuk memperoleh pelbagai produk dan perkhidmatan dari Malaysia seperti alat ganti dan komponen automotif; minyak sawit; minyak dan lemak masak; oleokimia; bahan pencuci; bahan kimia khas; panel solar dan inverter; bahan binaan serta produk makanan dan minuman.

“Pada masa yang sama, 12 syarikat pembuatan terkemuka Mesir telah dikenal pasti oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk meneroka peluang pelaburan di Malaysia, terutamanya dalam sektor farmaseutikal, peranti perubatan, aeroangkasa dan petrokimia,” katanya.

Dalam pada itu beliau turut beranggapan bahawa pelancaran kilang Proton di Mesir mampu membuka jalan peluasan dalam sektor automotif.

“Pelancaran kilang Proton di Mesir membuka jalan bagi peluasan strategik dalam sektor automotif di Afrika Utara.

“Proton membawa visi menjadikan Mesir sebagai hab eksport ke pasaran Afrika Utara dengan sasaran pengeluaran 5,000 unit Proton Saga pada tahun 2025 dan hingga 25,000 unit menjelang 2026,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau yakin bahawa pelaburan tersebut akan memperkukuhkan sistem ekonomi Mesir dan kedudukan jenama automatif negara.

“Inisiatif ini yang melibatkan pelaburan AS$35 juta juga menyokong dasar ekonomi Mesir untuk menggalakkan pemasangan tempatan sambil mengurangkan import unit dibina sepenuhnya (CBU).

“Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) optimis bahawa pelaburan ini akan memperkukuhkan ekosistem ekonomi Mesir dan mengukuhkan kedudukan Proton sebagai jenama automotif Malaysia yang terus berkembang di pentas antarabangsa,” katanya lagi. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit