Kos Pengambilan Pekerja Asing: KESUMA Dalam Proses Sesi Rundingan – Abdul Rahman

 

KUALA LUMPUR, 13 Nov – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sentiasa memastikan pengambilan pekerja asing dilaksanakan secara telus, selamat dan berlandaskan kepada prinsip ‘fair recruitment’ yang akan memanfaatkan majikan dan pekerja.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata berhubung dengan penetapan kos pengambilan pekerja asing termasuk di Sabah dan Sarawak, KESUMA dalam proses mengadakan sesi perundingan bersama negara sumber bagi memperincikan struktur kos pengambilan pekerja asing yang akan bekerja di Malaysia.

Menurut beliau ini akan dikongsi dengan semua pemegang taruh merangkumi agensi Kerajaan termasuk di Sabah dan Sarawak, majikan, kesatuan sekerja, agensi pekerjaan swasta dan lain-lain badan berkaitan.

“Langkah ini juga sejajar dengan komitmen KESUMA di bawah Pelan Tindakan Kebangsaan Mengenai Buruh Paksa (NAPFL) 2021-2025 yang menerapkan konsep transparency dan zero cost to the worker (dengan izin) dalam kos pengambilan pekerja asing.

“Pada masa yang sama, KESUMA akan meneliti perkara-perkara berikut sebagai langkah mengurangkan impak kos pengambilan pekerja asing yang antara lain termasuklah kos pengambilan yang dipersetujui dengan negara sumber akan diumumkan kepada majikan dan agensi pekerjaan swasta untuk meningkatkan pemahaman semua pihak.

“Langkah ini akan dikaji kerana ia penting untuk memberi gambaran jelas tentang kos sebenar dalam pengambilan pekerja asing, sekaligus membantu majikan merancang dengan lebih berkesan dan telus,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di parlimen, hari ini.

Katanya lagi bagi calon pekerja asing, Kementerian juga akan melaksanakan konsep pre-employment, yang memberi pendedahan awal tentang jenis pekerjaan dan kos yang bakal terlibat di Malaysia.

“Melalui pendekatan ini, calon pekerja akan memahami syarat kerja dan kos yang perlu ditanggung dengan jelas, mengurangkan risiko salah faham atau kekecewaan kelak dan pendekatan ini diharapkan dapat meningkatkan kebajikan pekerja asing dan memudahkan majikan mencari pekerja yang benar-benar bersedia.

“Selain itu kementerian turut menggalakkan majikan mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dengan beralih kepada mekanisasi atau automasi. Melalui pelaksanaan Multi-Tier Levy, dana lebihan yang dikutip akan disalurkan kembali kepada majikan sebagai insentif untuk transformasi ini. Dengan cara ini, kita bukan sahaja meningkatkan daya saing sektor perniagaan dalam jangka panjang tetapi juga memodenkan proses kerja, menjadikannya lebih efisien dan produktif,” tambahnya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan adakah pihak Kementerian bercadang untuk menetapkan harga siling bagi pengambilan pekerja asing di Sabah memandangkan kos tersebut pada ketika ini sangat membebankan dan apakah langkah bagi mengurangkan impak kos pengambilan pekerja asing agar keperluan industri dapat dipenuhi tanpa membebankan majikan.- UMNO Online

[the-post-grid id="151977" title="post"]
@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.