PRN Sabah: Bung Moktar Nafi Sabah Dijadikan ‘Tikus Makmal’

PAPAR, 12 Nov – Barisan Nasional (BN) Sabah menafikan negeri itu dijadikan tikus ujian makmal bagi menguji kerjasama BN dan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi pilihan raya.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata dakwaan mengenai perkara itu timbul disebabkan ketidakfahaman mengenai maksud sebenar istilah ‘makmal’ dalam konteks kerjasama BN-PH di Sabah.

Katanya, kerjasama BN-PH juga bukan baharu, malah ia sudah berlaku dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) di Semenanjung dan kini mahu diteruskan pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17).

“Dia sebenarnya tidak faham sebab kerjasama BN-PH ini bukan baru berlaku, ia sudah berlaku dalam empat, lima PRK. Jadi Sabah bukan bidan terjun sebagai ujian tikus makmal.

“Ia adalah satu kesefahaman bagi memastikan kerajaan kita stabil tidak kira di mana saja termasuklah di Sabah kerana tidak mahu UMNO, BN dan PH berlaga pula.

“Sudah tentu, ia akan menjurus ke arah kestabilan politik dan yang jelas saya selaku pemimpin UMNO di Sabah, saya orang Sabah, kenapa pula saya mahu memalukan orang Sabah?” katanya ditemui pada Program Gerak17 UMNO Sabah bagi kawasan Pantai Manis, di sini, pada Ahad.

Beliau yang juga Ketua UMNO Sabah berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Masidi Manjun kelmarin, yang tidak bersetuju Sabah dijadikan makmal ujian kerjasama politik bagi menghadapi pilihan raya.

Masidi antara lain menganggap perkara itu seolah-olah menjadikan Sabah sebagai tikus makmal yang dilihat sebagai merendah atau memalukan rakyat negeri ini.

Ia merujuk kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebelum ini yang menyebut PRN17 Sabah menjadi makmal ujian kerjasama BN-PH untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

Bung Moktar berkata maksud sebenar Ahmad Zahid itu menjurus kepada strategi politik BN dan PH dalam menghadapi pilihan raya akan datang, tanpa ada niat memalukan rakyat Sabah.

“Saya tidak tahu kenapa Masidi kata memalukan rakyat Sabah, seolah-olah rakyat Sabah ini dijadikan tikus ujian makmal. Bagi saya itu kenyataan orang yang tidak faham berpolitik sebab politik ini perlu ada strategi.

“Strategi pula ada yang perlu dibentang untuk jadi pengetahuan orang ramai dan ada strategi yang orang ramai tidak perlu tahu.

“Jadi, strategi BN dan PH adalah untuk bekerjasama. Kalau dia (GRS) berhasrat bekerjasama, dia boleh masuk, tapi kena ada keikhlasan. Kalau tidak ikhlas, mengkhianati juga tidak payahlah masuk, bertanding sendirilah,” katanya.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berpendapat, berdasarkan kenyataan Masidi, niatnya adalah untuk mengelak daripada berlaku pertembungan di antara GRS dengan BN-PH pada PRN17.

“Sebab bagi dia, dia mahu PH bergaduh dengan BN, tapi ia tidak masuk akal. Mampukah Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri bergaduh pasal satu negeri, adakah kita rela kehilangan negara disebabkan satu negeri, sudah tentu tidak.

“Jadi, saya melihat kenyataan (Masidi) itu sebagai kenyataan orang yang kecewa dan mungkin juga faktor usia. Jadi saya nasihatkan Masidi supaya bersaralah,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Wahid


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit