Kes Najib: Hormati Perundangan, Yakin Keadilan Ditegakkan – Shah Zanuriman

KUALA LUMPUR, 12 Nov – Keputusan Mahkamah Tinggi hujung bulan lalu yang mengarahkan bekas Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Razak, untuk membela diri dalam kes berkaitan 1MDB telah menarik perhatian ramai dan menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat Malaysia.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Shah Zanuriman Nuar Paras Khan, berkata keputusan ini perlu dihormati namun percaya bahawa proses keadilan melalui perundangan akan dapat dilaksana sebaiknya sepanjang tempoh pembelaan kelak.

“Kita harus ingat bahawa ada ramai lagi individu yang bertanggungjawab dalam struktur pengurusan dan pentadbiran 1MDB yang turut terlibat dalam menentukan hala tuju syarikat. Ironinya, ramai daripada mereka ini masih bebas dan menjalani kehidupan tanpa sebarang tindakan mahkamah.

“Ini menimbulkan persoalan tentang keadilan sebenar dalam sistem ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Shah Zanuriman yang juga Setiausaha Pemuda UMNO Negeri Selangor menjelaskan bahawa isu ini bukan hanya berkaitan soal perundangan, tetapi juga soal keadilan yang harus ditegakkan.

“Kes ini bukan hanya menyentuh soal individu, tetapi juga integriti sistem perundangan negara yang harus membezakan antara fitnah politik dan realiti fakta. Sepanjang tempoh ini, Pemuda UMNO akan terus memberikan sokongan padu kepada Najib Razak dan keluarganya untuk menegakkan keadilan,” katanya lagi.

Tambahnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Selayang percaya bahawa tentunya barisan peguam Najib akan menggunakan peluang ini untuk menerangkan keadaan sebenar.

“Beliau tidak akan gentar dan akan berdiri teguh mempertahankan diri serta maruahnya. Saya juga ingin menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk menghormati proses perundangan yang sedang berjalan dan memastikan perbicaraan ini berlaku secara telus dan adil.

“Insya-Allah, kebenaran akan terungkap dan keadilan akhirnya menyinari perjuangan ini. Semoga Allah SWT memberikan kekuatan kepada Najib Razak dan mengurniakan keadilan kepada semua yang benar,” ujarnya.

Untuk rekod, Mahkamah Tinggi memerintahkan Najib untuk membela diri terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB, serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang membabitkan jumlah yang sama.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan tersebut setelah mendapati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas perdana menteri itu bagi semua pertuduhan pada akhir kes pendakwaan. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit