Turun Padang: Suraya Rasmikan ‘Fun Run’, Santuni Warga Pendang
KUALA LUMPUR, 11 Nov – Ketua UMNO Bahagian Pendang, Datuk Suraya Yaacob telah merasmikan Program ‘Fun Run’ dan Sukaneka Kampung di samping menyantuni warga Pendang pada Ahad.
Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi menyeru agar aktiviti sukan diteruskan dan tidak dijalankan hanya ketika sambutan Hari Sukan Negara.
“Saya ingin menyeru agar sukan dan segala aktiviti ini tidak hanya dijalankan sempena sambutan Hari Sukan Negara semata-mata.
“Hari ini merupakan titik permulaan bagi setiap daripada kita untuk terus mengamalkan dan membudayakan gaya hidup sihat dengan aktiviti bersukan sekaligus dapat mengeratkan lagi hubungan masyarakat sesama kita,” katanya.
Program tersebut telah dianjurkan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan tadika di daerah Pendang.
Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan sumbangan untuk Program Yayasan Pelajaran MARA dan Pendidikan Pendang di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jenun.
“Saya telah hadir untuk menyampaikan sumbangan bagi Program Yayasan Pelajaran MARA dan Pendidikan Pendang di SK Bukit Jenun.
“Program ini melibatkan tiga buah sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah. Antara barangan yang disumbangkan ialah basikal, beg dan juga cermin mata.
“Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pegawai Pendidikan MARA Negeri Kedah merangkap Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jerlun, Hayazi Azizan yang sudi membantu,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menziarahi dua buah keluarga dan mendoakan agar mereka diberikan kekuatan serta kesembuhan.
“Apabila turun di mana-mana program, saya akan cuba buat ziarah kasih di tempat bersesuaian. Ziarah sama ada mereka yang sakit atau ahli keluarga dilakukan pada setiap masa kelapangan.
“Pada hari ini saya telah melawat dua buah keluarga. Saya doakan kesembuhan segara malah keluarga yang menjaga diberi kekuatan. Apabila seorang dari keluarga sakit yang terkesan sebenarnya adalah mereka yang menjaga.
“…sama ada isteri, suami, anak-anak malah ibu bapa sendiri. Semoga penjaga diberi kekuatan oleh Allah SWT untuk menerima ujian ini sebaiknya,” katanya lagi. – UMNO Online