KPT, MQA Tawar Program Terkini, Berkualiti Tepati Keperluan Semasa – Zambry

KUALA LUMPUR, 11 Nov – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memaklumkan kerajaan komited dalam menawarkan program berkaitan pengurusan halal kepada pelajar-pelajar warganegara dan juga pelajar antarabangsa.

Menurut beliau sehingga kini terdapat 37 program Halal mendapat Akreditasi Penuh merangkumi peringkat diploma hingga ijazah kedoktoran, 13 program mendapat Akreditasi Sementara yang ditawarkan oleh institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan juga institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS).

“Terkini 11 buah universiti awam (UA) yang menawarkan program berkaitan industri halal yang terdiri daripada penawaran kursus sijil, ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah.

“Sebagai contoh, Universiti Malaya baru sahaja menawarkan Sarjana Pengurusan Halal bermula Oktober 2023 di bawah Akademi Pengajian Islam. Selain itu, UiTM juga menawarkan Program Diploma Pengurusan Halal dan Sarjana,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Dr Zambry yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO turut sama berkata kementerian melalui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sentiasa menggalakkan Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) menawarkan program terkini dan berinovasi bagi memastikan program-program yang ditawarkan berkualiti dan bertepatan dengan keperluan semasa.

Menurut beliau ini termasuk memperbanyakkan kursus-kursus bersijil berkaitan autisme untuk menggalakkan lebih ramai jurupulih perubatan.

“Untuk makluman pada ketika ini juga terdapat enam program dalam bidang terapi cara kerja peringkat diploma dan ijazah sarjana muda yang ditawarkan di UKM dan UiTM, serta tiga program pascasiswazah di UiTM.

“KPT juga melalui USM, UKM dan UPSI turut menawarkan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan iaitu Pendidikan Khas. Manakala Sarjana Pendidikan (Pendidikan Khas) ditawarkan di UM, USM, UKM dan UPSI. UPSI turut menawarkan program Doktor Falsafah dalam Pendidikan Khas,” katanya.

Sementara itu kata beliau, UA sentiasa memastikan prasarana dan fasiliti yang terdapat di UA adalah selesa dan kondusif untuk semua pelajar termasuk pelajar autisme.

Katanya di UIA, Unit Perkhidmatan Kelainan Upaya (DSU) dan Perkhidmatan Perkhidmatan Kaunseling dan Kerjaya (CCSC) sentiasa memastikan kebajikan pelajar autisme yang mengikuti pengajian di UIA sentiasa terjaga.

“Setakat ini terdapat 20 orang pelajar autisme sederhana di UIA yang mengambil pelbagai bidang seperti Qur’an dan Sunnah dan termasuk juga dalam bidang IT, Kejuruteraan, Arkitek dan lain-lain,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.