Pengiktirafan Politeknik Port Dickson Sebagai Institusi TVET Terbaik Asia Pasific Membanggakan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 10 Nov – Timbalan Perdana  Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pengiktirafan Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan sebagai institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terbaik di Asia Pasifik oleh Asia Pacific Accreditation and Certification Commission (APACC) merupakan kejayaan yang membanggakan.

Menurut beliau kejayaan tersebut memberi pelbagai makna dan lambang kejayaan kepada kualiti pendidikan yang ditawarkan sekaligus mengangkat tahap institusi pendidikan berkenaan.

“Tahniah saya ucapkan kepada Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan atas pengiktirafan Platinum oleh Asia Pacific Accreditation and Certification Commission (APACC) sebagai institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terbaik di Asia Pasifik.

“Ini merupakan satu kejayaan yang amat membanggakan kerana APACC merupakan badan akreditasi yang dihormati di rantau Asia Pasifik khususnya dalam bidang TVET.

“Pengiktirafan daripada APACC bukan sahaja melambangkan kualiti dan keunggulan pendidikan yang ditawarkan, tetapi juga membawa makna bahawa standard institusi kita kini diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Ahmad Zahid seterusnya berharap pencapain berkenaan akan memberikan aspirasi kepada seluruh institusi TVET di negara ini agar terus melangkah maju ke depan.

“Saya berharap agar pencapaian ini dapat menyuntik semangat dan inspirasi kepada semua institusi TVET di Malaysia untuk terus berinovasi dan mencapai kecemerlangan yang lebih tinggi, seiring dengan agenda TVET Negara dalam meningkatkan kualiti hidup graduan dan membina masyarakat yang berkemahiran tinggi.

“Sekali lagi, syabas dan tahniah kepada Politeknik Port Dickson! I’m really proud of this. Semoga ia menjadi pembakar semangat untuk kita terus maju dalam membina masa depan yang lebih gemilang. Insya-Allah,” tambahnya.- UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit