Iltizam Kami Jadikan Melaka Bandar Terancang Dan Mampan – Rauf

KUALA LUMPUR, 9 Nov – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata pentadbirannya di negeri berkenaan serius untuk meletakkan Melaka sebagai sebuah bandar yang berdaya huni, terancang dan mampan.

Menurut beliau selaras dengan sambutan hari perancangan bandar sedunia semalam, iltizam berkenaan diharap dapat dijayakan sebaiknya dengan komitmen pelbagai pihak di negeri tersebut.

“Selamat Menyambut Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) yang diraikan pada setiap 8 November setiap tahun.

“Malaysia khususnya negeri Melaka juga tidak ketinggalan melihat sambutan HPBS sebagai platform terbaik untuk menyokong persekitaran bandar yang lestari, mampan dan mesra alam untuk menjamin masa depan rakyat yang lebih baik,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Kata beliau lagi sesuai dengan tema sambutan tahun ini iaitu “Sedaya Upaya Membina Bandar Mampan Dan Pintar”, tema tersebut memberi aspirasi kepada Kerajaan Negeri Melaka dalam membangunkan lagi negeri tersebut.

“Insya Allah iltizam kita untuk membangunkan model bandar berorientasikan teknologi, kemudahan infrastruktur pintar, di samping memupuk penglibatan komuniti dan mesra alam.

“Sebagai antara negeri paling bahagia di Malaysia, pentadbiran saya serius dalam usaha memastikan negeri ini sebagai sebuah bandar yang berdaya huni serta terancang,” ujarnya.- UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit