‘Mereka Yang Tertewas’: Sarat Dengan Mesej, Bukti Kegigihan Agamawan Pertahan Islam

KUALA LUMPUR, 8 Nov – Filem ‘Mereka Yang Tertewas’ arahan tersohor Zulkifli M. Osman ternyata sarat dengan mesej dan menjadi bukti kepada kegigihan para agamawan mempertahankan agama Islam sepanjang zaman.

Anggota Tertinggi Majlis Ulama UMNO Malaysia, Datuk Othman Desa mengucapkan syabas kepada pihak produksi kerana berjaya mengangkat karya Islamik popular tersebut lalu digarapkan menjadi sebuah filem.

“Saya dan rakan-rakan pada malam ini (Khamis) berpeluang menonton filem ‘Mereka Yang Tertewas’. Saya nak cakap syabas dan tahniah di atas usaha ini kerana filem ini dipetik daripada novel terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

“Saya nak mencadangkan agar lebih banyak filem seperti ini diketengahkan kerana ini adalah keperluan. Saya nampak (dalam filem ini) ada elemen dakwah, jati diri, bangsa termasuklah pembentukan akhlak.

“Sebab itulah sebelum tayangan tadi kita dinasihatkan untuk menonton filem ini dengan hati. Filem ini juga sarat dengan pelbagai mesej dan ia sampai kepada penonton,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi sidang media selepas tayangan perdana filem ‘Mereka Yang Tertewas’ di sini, pada Khamis.

Seterusnya, beliau mengharapkan agar semua pihak tidak berputus asa untuk membuat kebaikan terutamanya dalam mempertahankan kedaulatan agama Islam.

“Apa yang saya dapat daripada filem ini ialah kita perlu bersama-sama buat kebaikan dan jangan mudah putus asa terutamanya dalam mempertahankan agama Islam.

“Ini kerana kita sedia maklum bahawa segala kebaikan yang kita cuba lakukan sudah semestinya akan disertai dengan halangan sebagai dugaan.

“Sekali lagi saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak produksi yang berjaya menyampaikan mesej melalui filem ini serta memilih para pelakon hebat untuk menjayakannya,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kerja Majlis Ulama UMNO, Amran Arifin beranggapan bahawa karya seperti filem ini seharusnya diangkat dan diteruskan untuk mendidik masyarakat.

“Terima kasih sekali lagi kepada pihak penganjur dan penerbit kerana sudi menjemput kami daripada Majlis Ulama UMNO untuk sama-sama menonton dan seterusnya memberi respon kepada filem yang kami tonton sebentar tadi.

“Sebenarnya, filem sebegini memang sangat dekat di hati kami. Saya kira filem seumpama ini seharusnya malah sewajibnya dekat kepada orang Islam dan Melayu kerana ia sarat serta penuh dengan mesej-mesej yang baik.

“Kita boleh lihat dalam filem ini betapa orang Islam ini, walaupun telah melalui jalan-jalan yang merosakkan akidah, pemahaman, akhlak… tetapi akhirnya dengan segala usaha yang tidak pernah jemu, mengerti pernah lelah daripada kumpulan agamawan ini mereka terus berdakwah walaupun menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut beranggapan bahawa umat manusia tidak akan sesat selagi adanya agamawan di dunia ini.

“Akhirnya dengan usaha dakwah yang dibuat ini, maka dapat kembali semula kepada Allah SWT, kepada jalan agama. Masya-Allah.

“Firman Allah SWT, tiada perkataan yang paling baik melainkan menyuruh kepada jalan Allah SWT dan mengajak membuat amal kebaikan; mengatakan pula sesungguhnya, aku adalah seorang Islam.

“Inilah mesej yang kita dapat daripada filem ini. Maknanya dunia ini selagi ada agamawan, Insya-Allah umat tidak akan sesat dan sama-sama kita menyemarakkan amal makruf dan nahi mungkar,” katanya.

Filem ‘Mereka Yang Tertewas’ arahan Zulkifli M. Osman telah mula ditayangkan di seluruh negara pada 7 November dan diadaptasikan dari sebuah novel terbitan DBP.

Antara pelakon yang mewarnai filem tersebut adalah Zaidi Omar, Fiza Halim, Mubarak Majid, Sherie Merlis dan ramai lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit