Belanjawan 2025: Kelantan Antara Negeri Yang Dapat Manfaat – Mu’izz

KUALA LUMPUR, 8 Nov – Ketua Penerangan UMNO Bahagian Segambut, Mu’izz Nasruddin menyeru semua pihak berganding bahu dan bekerjasama untuk menjayakan Belanjawan 2025 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Oktober lalu.

Ini kerana katanya, kerajaan telah menyediakan peruntukan khas untuk menyelesaikan masalah air bersih di Kelantan dan ia dilihat mampu membawa perubahan besar terhadap negeri tersebut.

“Rakyat Pantai Timur, khususnya, sering berdepan dengan cabaran yang amat kritikal. Masalah bekalan air bersih di Kelantan telah lama menjadi isu. Tetapi kali ini, Belanjawan 2025 telah menyediakan peruntukan khusus untuk menggantikan meter air, membaiki tangki, dan melabur dalam projek pembaikan sistem bekalan air di negeri tersebut.

“Projek ini dijangka siap pada 2025, dan kami berharap ia akan membawa perubahan yang benar-benar bermakna. Kita mahukan setiap keluarga dan komuniti dapat menikmati akses kepada air bersih, satu keperluan asas yang seharusnya tersedia untuk semua rakyat Malaysia,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, belanjawan tersebut turut menunjukkan komitmen kerajaan untuk menangani masalah banjir terutamanya di kawasan Pantai Timur seperti projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB).

“Selain itu, kita tahu musim tengkujuh membawa kesan yang amat teruk di Pantai Timur, dengan banjir yang menyebabkan banyak kesulitan. Belanjawan ini menunjukkan komitmen kerajaan yang tidak berbelah bahagi untuk menangani isu ini.

“RM3 bilion telah diperuntukkan untuk 12 projek tebatan banjir yang khusus, termasuk Projek RTB Sungai Triang di Pahang dan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan Fasa 2.

“Rakan-rakan, ini bukan sahaja satu pelan, ia adalah janji kerajaan untuk terus melindungi rakyat dan memastikan keselamatan mereka diutamakan. Dengan usaha ini, saya yakin dapat meraih sokongan dan keyakinan rakyat, khususnya di Pantai Timur, terhadap Kerajaan Perpaduan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau yakin bahawa Belanjawan 2025 mampu membawa kesejahteraan yang lebih bermakna dan membina negara lebih makmur.

“Sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian Segambut, saya ingin menyatakan bahawa Belanjawan 2025 bukan sekadar peruntukan. Ia adalah komitmen, janji, dan ikrar kerajaan ini kepada rakyat. Inisiatif yang diumumkan menunjukkan bahawa kita komited untuk membina negara ini bersama-sama, dari akar umbi hingga ke peringkat kebangsaan.

“Saya menyeru kepada semua pihak, baik di bandar mahupun di desa, baik di pantai timur mahupun di wilayah lain, marilah kita bersama-sama menyokong dan bekerjasama demi menjayakan belanjawan ini.

“Dengan penglibatan aktif setiap lapisan masyarakat dan pemantauan rapi, saya yakin Belanjawan 2025 akan membawa kesejahteraan yang lebih bermakna dan membina Malaysia yang lebih makmur untuk kita semua,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit