Menteri-menteri UMNO Main Peranan Penting, Prestasi Baik Bantu Kerajaan Perpaduan – Mohd Isam

KUALA LUMPUR, 5 Nov – Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa menyifatkan menteri-menteri UMNO/Barisan Nasional (BN) kompeten dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab mereka bagi menyampaikan aspirasi kerajaan kepada rakyat.

Ketua UMNO Bahagian Tampin itu berkata demikian bagi memberikan respon terhadap segelintir pihak yang disifatkan beliau sebagai terbawa-bawa dengan sejarah lampau.

Mohd Isam pada sama turut menyentuh kemenangan UMNO/BN pada Pilihan Raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang merupakan bukti kepada kerjasama erat parti-parti di bawah Kerajaan Perpaduan.

“Sejarah tersebut merupakan satu pengiktirafan daripada rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan dan membuktikan bahawa parti-parti yang ada dalam kerajaan hari ini boleh bekerjasama dengan baik di luar sana.

“Walau bagaimanapun, perkara tersebut masih sukar untuk diterjemahkan di dalam dewan ini kerana masih ada sebilangan kecil yang masih terbawa-bawa dengan sejarah lampau.

“Oleh itu, saya terpanggil untuk memberi respon terhadap beberapa perkara yang dibangkitkan mengenai kenyataan bahawa menteri-menteri UMNO kurang membantu dalam pentadbiran kerajaan. Kenyataan yang dibuat itu jelas tersasar, umpama jauh panggang dari api.

“Alhamdulillah apa yang rakyat lihat hari ini, menteri-menteri dari UMNO telah memainkan peranan penting dan menunjukkan prestasi yang sangat baik untuk membantu Kerajaan Perpaduan pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perbahasan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut berkenaan belanjawan yang dibentangkan pada bulan lalu, Mohd Isam berpandangan FELDA wajar diletakkan di bawah seliaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah yang diterajui oleh Timbalan Perdana Menteri bagi memastikan agensi itu bergerak seiring bersama RISDA dan FELCRA.

Katanya lagi, penyeragaman tiga agensi utama yang menjadi tunjang ekonomi masyarakat luar bandar perlu dilakukan supaya gerak kerja untuk memperkukuhkan sektor sawit dan getah bagi memastikan ia bergerak dengan lebih berkesan.

“Meskipun belanjawan MADANI telah memasuki siri ketiga dan peruntukan keseluruhan FELDA akan ditingkatkan hampir RM6 juta pada tahun 2025, saya masih tidak nampak sebarang usaha yang dilakukan oleh kerajaan untuk memperkukuh dan memulihkan kembali FELDA.

“Perancangan dan hala tuju kerajaan mengenai masa depan FELDA terus menjadi tanda tanya sejak agensi tersebut diletakkan di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri.

“Untuk itu FELDA perlu diletakkan di bawah kementerian supaya urusan pentadbiran dan kawal selianya lebih berkesan,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.