BN/UMNO Sabah Tetap Disokong Rakyat, Suhaimi Sangkal Dakwaan Tidak Relevan

SANDAKAN, 5 Nov – Barisan Nasional (BN) Sabah menafikan dakwaan yang menyatakan gabungan itu tidak lagi relevan di Sabah dan sukar untuk menang jika bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Ketua Penerangan BN Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, menegaskan bahawa BN masih mendapat sokongan kuat, khususnya di kawasan luar bandar Sabah.

“Pandangan tersebut hanya pendapat peribadi yang dibuat berdasarkan analisis di atas kertas, dan lebih memihak kepada pihak tertentu. Kami di BN/UMNO tetap yakin dengan sokongan rakyat, terutama di kawasan luar bandar,” katanya.

Suhaimi mengakui bahawa cabaran mungkin lebih besar di kawasan bandar, namun beliau percaya BN masih mempunyai pengaruh di luar bandar dan kawasan separa bandar.

“BN/UMNO adalah satu-satunya parti yang sentiasa membantu rakyat ketika mereka memerlukan. Walaupun saingan di bandar mencabar, sokongan kami di luar bandar tetap kukuh,” tambahnya.

Suhaimi, yang juga Ketua UMNO Bahagian Libaran, mengulas kenyataan seorang penganalisis politik yang menyatakan jenama BN memerlukan transformasi dan kerjasama dengan parti lain.

Beliau menegaskan bahawa walaupun UMNO Sabah menghadapi krisis selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), ekoran beberapa pemimpin meninggalkan parti untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) namun UMNO tetap berdiri teguh dengan 25 bahagian yang masih aktif di Sabah.

“Langkah beberapa pemimpin menyertai PPBM tidak menjejaskan kekuatan BN/UMNO. Dengan keahlian sekitar 600 ribu orang di seluruh Sabah, kami masih diterima oleh rakyat,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, menyatakan BN tidak menolak kemungkinan bertanding solo pada PRN17 jika tidak mencapai persetujuan dengan parti lain, termasuk Pakatan Harapan (PH).

Suhaimi yakin rakyat Sabah akan kembali menyokong BN berdasarkan pengalaman mereka di bawah tiga era pentadbiran kerajaan negeri, iaitu BN, Warisan, dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Rakyat telah melihat perbezaan antara tiga era ini dan menyedari kelemahan yang menjejaskan pembangunan infrastruktur dan ekonomi Sabah,” jelasnya.

Mengenai potensi BN bertanding solo, Suhaimi berkata BN tidak akan bertanding di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sebaliknya akan meletakkan calon di kerusi-kerusi tumpuan yang mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri.

“Fokus kami adalah pada kerusi-kerusi penting untuk memastikan kemenangan yang boleh membentuk kerajaan negeri,” tambahnya lagi. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Wahid


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit