BN Dan PH Sabah Adakan Pertemuan Tidak Rasmi, Pupuk Semangat Perpaduan

KOTA KINABALU, 5 Nov – Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Sabah hari ini mengadakan pertemuan tidak rasmi sebagai langkah untuk memupuk semangat perpaduan dan memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua parti.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini memaklumkan bahawa pertemuan ini adalah susulan daripada persefahaman yang dicapai antara pucuk pimpinan BN dan PH, iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak berkongsi aspirasi untuk memastikan asas-asas kerjasama akan memberikan manfaat kepada rakyat dan negeri Sabah.

“Bagi maksud itu, kedua-dua parti bersetuju untuk mewujudkan ruang komunikasi bagi memurnikan gerak kerja bersama, termasuk terbuka menjalin hubungan dengan parti-parti lain sebagai persediaan memasuki Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) yang akan datang.”

Turut dimaklumkan bahawa kedua-dua pihak juga bersetuju sebarang bentuk persefahaman untuk bergerak ke hadapan akan diputuskan melalui perbincangan dan persefahaman pucuk pimpinan kedua-dua parti.

Pertemuan tersebut disertai Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Pengerusi BN Sabah merangkap Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Presiden PBRS, Datuk Arthur Joseph Kurup; Pengerusi MCA Sabah, Datuk Teah Heok Kuin dan Pengerusi MIC Sabah, Peer Muhmad Kadir manakala kepimpinan PH ialah Pengerusi PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud; Pengerusi DAP Sabah, Jannie Lasimbang; Timbalan Presiden UPKO, Datuk Donald Mojuntin dan Pengerusi Amanah Sabah, Lahirul Latigu.

Sebelum ini Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengulangi pendirian berhubung kerjasama gabungan itu dengan PH pada PRN Sabah akan datang.

Presiden UMNO itu juga turut memberi jaminan bahawa tiada pertindihan kerusi melibatkan kedua-dua gabungan itu, dengan penggunaan logo mengikut parti masing-masing. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit