Sidang Kemuncak Negara Arab-Islam: Malaysia Akan Pastikan Keadilan, Kemerdekaan Palestin Terjamin

KUALA LUMPUR, 4 Nov – Malaysia akan memainkan peranan aktif dalam Sidang Kemuncak Negara Arab-Islam untuk memastikan keadilan dan kemerdekaan rakyat Palestin terjamin.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Sidang Kemuncak Tergempar Negara Arab-Islam yang akan diadakan pada 11 November ini akan menyaksikan kesatuan untuk menyuarakan sokongan kepada rakyat Palestin yang kini menderita akibat kekejaman zionis Israel.

“Hari ini saya hadir ke Parlimen mendengar penerangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung Sidang Kemuncak Tergempar Negara-Negara Arab dan Islam mengenai isu Palestin yang bakal diadakan di Riyadh, Arab Saudi, pada 11 November 2024.

“Perhimpunan ini akan menyaksikan negara-negara Islam bersatu untuk menyuarakan sokongan kepada perjuangan sah rakyat Palestin yang sekian lama menderita di bawah kekejaman rejim zionis.

“Situasi di Gaza dan Wilayah Palestin Yang Diduduki (OPT) semakin meruncing, dengan jumlah korban mencecah puluhan ribu termasuk kanak-kanak yang tidak berdosa,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, Malaysia dan masyarakat antarabangsa perlu bersuara tegas mengutuk tindakan Israel serta menuntut mereka menghentikannya.

“Kezaliman yang berterusan ini semakin merampas hak asasi dan keadilan rakyat Palestin, malah tindakan ini disifatkan oleh pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai satu bentuk genosid.

“Malaysia dan masyarakat antarabangsa perlu bersuara tegas mengutuk tindakan ini serta menuntut Israel menghentikan segala bentuk pencerobohan dan penindasan. Sidang kemuncak nanti akan memperkukuhkan usaha menuntut Israel menghentikan pendudukan haramnya dan memastikan bantuan kemanusiaan segera dapat disalurkan kepada rakyat Palestin.

“Sokongan padu juga akan diberikan kepada Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) yang menyediakan bantuan asas dan perkhidmatan penting kepada rakyat Palestin di OPT,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau mengharapkan agar segala usaha Malaysia akan diberkati dan memperoleh kekuatan untuk memperjuangkan hak rakyat Palestin.

“Bagi pihak Malaysia, Perdana Menteri akan mengusulkan agar negara-negara Arab dan Islam mengadakan usaha lebih berkesan demi membebaskan Palestin, serta mendesak agar gencatan senjata yang stabil dapat dicapai.

“Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam sidang kemuncak ini untuk memastikan keadilan dan kemerdekaan rakyat Palestin terjamin, selain memperkukuhkan hubungan kerjasama antarabangsa dalam usaha mencari penyelesaian yang adil dan berpanjangan.

“Semoga usaha kita semua diberkati dan terus mendapat kekuatan untuk memperjuangkan keadilan dan hak asasi buat Palestin. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit