Jelajah Penerangan UMNO Ke Lenggong, 1,000 Peserta Mantapkan Komunikasi Depani Isu Semasa

LENGGONG, 4 Nov – Jelajah Penerangan UMNO Malaysia meneruskan misinya dengan mengadakan sesi penerangan kepada ahli akar umbi UMNO di Bahagian Lenggong malam tadi.

Program yang dilaksana hasil cetusan idea Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said bertujuan untuk memberikan penjelasan mengenai isu-isu semasa yang berkaitan dengan perkembangan politik di negara ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi merangkap Naib Ketua UMNO Bahagian Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah menerima kehadiran Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri dan Ketua UMNO Bahagian Lenggong dalam program yang dilaksana secara santai.

Dengan penyertaan seramai 1,000 orang peserta, program ini juga menjemput ahli dari empat bahagian terdekat iaitu Gerik, Kuala Kangsar, Padang Rengas, dan Larut.

Kehadiran mereka menunjukkan semangat perpaduan dan kerjasama antara bahagian-bahagian UMNO di negeri Perak.

Jelajah Penerangan ini bukan sahaja bertujuan untuk mendidik dan memberi maklumat, tetapi juga untuk mengeratkan hubungan antara pemimpin dan ahli di peringkat akar umbi selain maklumat langsung dari pemimpin tertinggi parti.

Dengan adanya sesi seperti ini, ia dapat memperkukuhkan lagi semangat juang dan solidariti dalam kalangan ahli UMNO, serta meningkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi cabaran politik akan datang.

Pelbagai pengisian dan sesi penerangan telah disediakan oleh Penerangan UMNO Malaysia untuk membantu ahli dan kepimpinan akar umbi memahami isu-isu terkini serta cara mengatasinya. Sesi ini juga dirancang untuk memberi latihan dan persiapan kepada jentera parti, khususnya di bahagian Penerangan, bagi menghadapi cabaran politik yang kian kompleks.

Inisiatif ini jelas menunjukkan komitmen UMNO dalam memperkukuh hubungan dengan akar umbi dan memastikan semua suara didengar dalam merancang masa depan parti. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit