Hasnal Percaya Pasukan Peguam Najib Akan Manfaat Peluang Bela Diri Untuk Buktikan Kebenaran

KUALA LUMPUR, 2 Nov – Ketua UMNO Bahagian Selayang Datuk Hasnal Rezua Merican menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi pada Rabu yang memerintahkan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membela diri dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai mendukacitakan.

Beliau yang juga pengamal undang-undang menghormati keputusan mahkamah namun katanya sesuatu yang janggal apabila mahkamah mengambil kira keterangan saksi-saksi pendakwaan yang disifatkan sebagai keterangan ‘dengar cakap’.

“Kita menghormati keputusan dibuat oleh mahkamah tetapi keputusan itu sangat mendukacitakan kerana nampaknya seolah-olah setiap perkabaran dibuat pihak pembelaan termasuk mencabar setiap keterangan-keterangan yang diberikan oleh saksi-saksi yang tidak menghadiri perbicaraan menyeluruh diberi secara keterangan dengar cakap melalui pihak ketiga diterima sepenuhnya sebagai keterangan-keterangan kredibel.

“Jadi melihat kepada apa yang berlaku dalam kes Datuk Seri Najib ini, saya fikir ramai penulis-penulis buku teks yang kena berkaji semula undang-undang keterangan dengar cakap ini kerana nampaknya kita sedang masuk ke dalam satu trend baru menerima keterangan dengar cakap ini secara menyeluruh sebagai keterangan yang kredibel untuk membuktikan fakta dalam sesuatu perkara ada sebegitu,” katanya.

Beliau bagaimanapun berharap pasukan peguam bekas Perdana Menteri itu akan menggunakan peluang membela diri untuk membuktikan kebenaran.

“Saya harap pasukan pembelaan Datuk Seri Najib akan membawa pembelaan yang kukuh dan berwibawa untuk menyangkal kes pihak pendakwaan ini, semoga Datuk Seri Najib mendapat keadilan di akhir kes pembelaan,” ujar beliau.

Hasnal Rezua dalam pada itu berpandangan sentimen Najib kepada ahli UMNO begitu menebal kerana rata-rata daripada penyokong parti ini mahukan pemimpin tersebut mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Bagaimanapun kata beliau lagi, sokongan tersebut perlu diterjemahkan lebih aktif melalui kehadiran lebih ramai ahli UMNO ketika perbicaraan di mahkamah.

“Saya melihat situasi bahawa UMNO dari awal dulu, semasa Datuk Seri Najib dan beberapa pemimpin kita dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan, UMNO tidak pernah menormalisasi penyokong hadir untuk sokongan kepada pemimpin-pemimpin itu.

“Berbeza dengan apa yang dibuat oleh PKR dulu sewaktu mereka membela pemimpin mereka. Jadi saya merasakan bahawa sentimen terhadap Datuk Seri Najib ini amat kuat dalam UMNO dan orang UMNO hampir pasti mengikuti perkembangan ini dan menyokong pembelaan Datuk Seri Najib dan mendoakan beliau berjaya.

“Bagi saya kita kena membuat gerakan dalam mobilisasi kehadiran ahli-ahli untuk menampakkan sokongan itu kerana tidak boleh menjadi sokongan pasif selama-lama. Sokongan itu mesti dizahirkan dan mesti dinampakkan. Jadi, saya mengharapkan untuk akan datang apabila melalui prosiding- prosiding yang penting dan menjadi penentu kepada sesuatu kes melibatkan pemimpin kita, maka parti sepatutnya memobilisasikan kehadiran penyokong-penyokong untuk beri ke mahkamah,” katanya lagi.

Untuk rekod Mahkamah Tinggi pada Rabu memerintahkan Najib untuk membela diri terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang membabitkan jumlah yang sama.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membuat keputusan tersebut setelah mendapati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas perdana menteri itu bagi semua pertuduhan pada akhir kes pendakwaan. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit