KESUMA Tingkatkan Keterampilan Graduan Untuk Hadapi Cabaran Industri 4.0 – Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) terus mengorak langkah dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan dan memastikan pekerja tempatan bersedia menghadapi cabaran dalam sektor teknologi dan Industri 4.0 yang semakin kompetitif.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, berkata melalui pelbagai program latihan kemahiran, KESUMA komited untuk memperkukuh kebolehpasaran graduan dan pekerja, selaras dengan kehendak industri semasa.

“Menurut statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), sebanyak 575,044 pencari kerja aktif telah direkodkan dari Januari hingga 27 September 2024 di Portal MYFutureJobs, berbanding 125,956 kekosongan jawatan yang diiklankan.

“Bagi menangani cabaran guna tenaga tidak penuh, terutamanya bagi graduan baharu dan pekerja tempatan pelbagai program telah diperkenalkan oleh KESUMA seperti program latihan di bawah sistem insurans pekerjaan, skim latihan bakal pekerja (FWT); kursus berfokuskan industri 4.0; kerjasama strategik dan pusat teknologi dan pembiayaan PTPK untuk pelatih kemahiran,” katanya pada sesi jawab lisan di Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan dari Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew yang menyatakan dalam menghadapi cabaran pasaran pekerjaan yang semakin kompetif, apakah program latihan kemahiran yang dirancang oleh Kementerian untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan dan pekerja tempatan dalam sektor teknologi dan industri 4.0.

Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis seterusnya menerangkan bahawa KESUMA terus komited bagi memastikan graduan dan pekerja tempatan mampu hadapi cabaran semasa.

“KESUMA komited untuk memastikan graduan dan pekerja tempatan mampu menghadapi cabaran ekonomi masa hadapan dengan kemahiran yang diperlukan, terutamanya dalam sektor teknologi dan Industri 4.0 termasuk automasi dan kecerdasan buatan yang berkembang pesat.

“KESUMA mendapati mulai pada tahun 2020 sehingga 27 September 2024 adalah seramai 293,639 orang pekerja tenaga kerja telah kehilangan pekerjaan dan industri yang paling terkesan seperti sektor pembuatan seramai 75,615 orang; sektor perdagangan borong dan runcit seramai 43,614 orang.

“Sektor aktiviti profesional, saintifik dan teknikal merekodkan seramai 23,907 orang; sektor ICT seramai 19,931 orang; sektor penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman seramai 23,124 orang; sektor pembinaan seramai 21,233 orang; sektor pengangkutan mencatatkan 20,953 orang dan lain-lain sektor merekodkan 65,262 orang,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.