UMNO Beaufort Aplikasi Pembangunan Masyarakat, Angkat Kesedaran Kesihatan Wanita
BEAUFORT, 14 Okt – Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat menegaskan bahawa UMNO sentiasa mendukung apa-apa juga program yang memberi manfaat kepada rakyat, termasuk isu berkaitan kesihatan dan wanita.
Katanya, dengan inisiatif seperti ini, UMNO Bahagian Beaufort tentunya akan dapat memberikan sokongan yang berterusan kepada masyarakat secara holistik termasuklah wanita bagi membantu mereka menguruskan kesihatan dan kesejahteraan dalam kehidupan seharian.
“Kami sedar bahawa sumbangan kaum wanita amat penting dan peranan mereka memberi impak yang besar kepada institusi keluarga dan masyarakat,” katanya.
Terdahulu beliau telah merasmikan program Kesedaran Kesihatan Wanita anjuran Panel Penasihat Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Heritage Beaufort di Dewan Kampung Kukut, di sini semalam.
Dalam ucapan pembukaannya, Awang Aslee menyentuh tentang kehidupan yang semakin pantas iaitu teknologi, pekerjaan dan pelbagai tanggungjawab lain mendesak wanita untuk memainkan pelbagai peranan iaitu sebagai ibu, isteri, pekerja dan pemimpin dalam komuniti.
“Namun, dalam keghairahan mengejar kejayaan dan memenuhi harapan, kita tidak boleh mengabaikan aspek kesihatan. Kesihatan bukan hanya ketiadaan penyakit, tetapi juga melibatkan kesejahteraan fizikal, mental dan emosi.
“Cabaran dalam kehidupan moden ini memerlukan kita untuk lebih bijak dalam menguruskan kesihatan. Program ini hadir tepat pada masanya untuk mengingatkan kita tentang pentingnya meluangkan masa untuk diri sendiri,” tambah beliau.
Jelasnya, program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya kesihatan dalam kalangan wanita, terutama dalam menghadapi cabaran kehidupan moden yang semakin kompleks.
“Statistik menunjukkan bahawa wanita kini lebih terdedah kepada pelbagai masalah kesihatan seperti tekanan, penyakit jantung, diabetes dan masalah mental.
“Kesihatan yang terabai bukan sahaja menjejaskan diri kita, tetapi juga keluarga dan masyarakat. Kita perlu melakukan perubahan kecil tetapi bermakna dalam kehidupan harian kita,” katanya.
Justeru beliau berharap program ini dapat membuka mata semua peserta tentang kepentingan menjaga kesihatan dengan lebih menyeluruh.
Beliau juga menyeru kepada semua wanita agar menjadikan kesihatan mereka sebagai keutamaan.
“Sediakan masa untuk diri sendiri, luangkan masa untuk bersenam, makan dengan sihat, dapatkan rehat yang mencukupi dan jangan takut untuk meminta bantuan apabila diperlukan.
“Mari kita wujudkan budaya sokongan di kalangan wanita, di mana kita saling membantu dan memberi semangat antara satu sama lain,” tegas Awang Aslee lagi. – UMNO Online