Kekalkan Perpaduan Untuk Kestabilan Politik Dan Ekonomi Negara

MENUMBOK, 11 Okt – Perpaduan kaum perlu terus dikekalkan bagi memastikan kestabilan politik dan ekonomi negara terus kukuh.

Setiausaha UMNO Bahagian Beaufort, Abdul Rahman Mohd Taib berkata, perpaduan yang dipertahankan itu juga dapat mengintegrasikan rakyat Malaysia tanpa mengira sempadan, bangsa serta agama.

Menurut Abdul Rahman, bagi mengekalkan keharmonian kaum terus terpelihara semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat perlu tampil membantu usaha-usaha kerajaan bagi terus memperkukuhkan perpaduan kaum di negara ini.

“Program-program yang dapat mengeratkan semangat kerjasama terutamanya di peringkat komuniti perlu terus dilaksanakan kerana ia merupakan medium yang boleh merapatkan semangat perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mewakili Ketua UMNO bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat merasmikan program Sukaneka Rakyat (Perpaduan dan Komuniti Madani) anjuran Kawasan Rukan Tetangga dan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Lambidan dekat sini, kelmarin.

Abdul Rahman yang juga Yang Dipertua (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Menumbok berkata, Malaysia bukan saja perlu bebas daripada keganasan, jenayah dan kekejaman malah perlu bebas daripada masalah dan konflik disebabkan kebencian antara kaum dan agama.

“Masyarakat pelbagai etnik perlu mempunyai sikap prihatin terhadap masa depan negara dan bersedia menjadi jambatan etnik,” katanya.

Sehubungan itu, Abdul Rahman mengingatkan rakyat agar menolak fahaman politik sempit lantaran mutakhir ini ada parti dan pemimpin politik di negeri terbabit kembali memainkan pelbagai sentimen antaranya ‘tolak parti Malaya’ kerana hanya ingin memperkukuhkan kedudukan politik mereka.

“Kita perlu menyuburkan sistem demokrasi dalam politik, sentimen ini seharusnya tidak ditimbulkan kerana ianya boleh menghalang semangat intergerasi nasional antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia yang kita bina selama ini,” jelas Abdul Rahman.

Menurut beliau, Malaysia adalah sebuah negara yang aman dan harmoni kerana adanya pelbagai kaum dan agama.

“Justeru menjadi tanggungjawab semua pihak menjaga keamanan ini agar ia berkekalan dan jika ini dapat dipertahankan sudah tentu negara akan terus maju dan ekonomi juga akan stabil,” katanya.

Hadir sama di majlis tersebut ialah Guru Besar SK Lambidan, Taminah Rasnih; Ketua Kampung Lambidan, Mohd Otgman Matdiri; Pengerusi JKK Kampung Lambidan, Rozita Salleh; Pengerusi PIBG SK Lambidan, Ghaffar Ahmad dan Pengerusi KRT Lambidan, Aidy Garai. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.