Tolak MoU: Sikap Sebenar Pembangkang Terbongkar, Tidak Matang Berpolitik – Hasry Sham

KUALA LUMPUR, 10 Okt – Tindakan pihak pembangkang menolak draf Memorandum Persefahaman (MoU) yang dicadangkan oleh Kerajaan Perpaduan telah menyerlahkan sikap sebenar mereka dalam berpolitik.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Hasry Sham Chasmen berkata, saban hari mereka (pembangkang) meratib membawa naratif seolah-olah Kerajaan Perpaduan gagal mengotakan janji untuk bersikap adil dalam pengagihan peruntukan kepada ahli-ahli Parlimen.

“Hakikatnya pembangkang yang gagal menunjukkan sikap politik yang matang apatah lagi untuk memainkan peranan sebagai pembangkang yang efektif menjuarai isu-isu rakyat.

“Draf MoU yang dicadangkan oleh Kerajaan Perpaduan seharusnya diterima untuk disemak, diperhalusi secara teliti, dibahaskan dalam mesyuarat dan sekiranya ada kandungan yang tidak kena dengan selera mereka, kemukakanlah cadangan balas. Daripada ‘draf’ menjadi ‘muktamad’ bukanlah sesuatu yang boleh diselesaikan dalam tempoh ‘overnight’.

“Walau apa jua hujah blok pembangkang untuk menjustifikasikan tindakan mereka, rakyat telah dapat menilai ‘true colours’ mereka. Slogan demi slogan yang dilaungkan untuk membela nasib rakyat hanyalah kosmetik yang tiada ‘substance’,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Hasry Sham yang juga Pengerusi Biro Ekonomi dan Keusahawanan Muda Pemuda UMNO Malaysia merasa cukup terkilan sewajarnya pembangkang yang kuat akan menjadi semak dan imbang bagi menilai polisi dan dasar yang akan dilaksanakan kerajaan.

“Kita juga berasa ralat kerana pembangkang yang kuat memang diperlukan dalam negara ini sebagai instrumen ‘check and balance’ untuk menilai polisi-polisi serta dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan.

“Namun… sikap pembangkang yang kebudak-budakan ini bukan sahaja merugikan mereka, bahkan tidak boleh memberikan nilai tambah dalam mewujudkan suasana politik matang dan sejahtera yang sentiasa meniti di bibir pembangkang,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ampang, menjelaskan sokongan rakyat terhadap pembangkang kini semakin pudar susulan perkembangan politik kebelakangan ini.

“Secara konklusi, rakyat mungkin telah menilai semula tindak tanduk blok pembangkang ini yang mungkin menjadi pilihan sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas.

“Namun, keputusan beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) kebelakangan ini telah memberi satu mesej yang jelas bahawa budaya politik retorik ini tidak mendapat tempat di hati rakyat,” ujarnya.

Terdahulu dilaporkan Perikatan Nasional (PN) sebulat suara menolak draf MoU tersebut dan ini mencerminkan ketidakmatangan mereka memahami isi hati rakyat dan menstabilkan negara. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit