Pemuda UMNO Perlis Bidas Tuan Ibrahim, Nasihat Dulu Parti Sendiri – Saiful Fariddil
KUALA LUMPUR, 9 Sept – Pemuda UMNO Perlis menegaskan bahawa Tuan Ibrahim Tuan Man tidak berhak dan tidak perlu mencampuri urusan parti lain, sebaliknya beliau perlu menasihatkan pemimpin-pemimpin di dalam partinya dan Perikatan Nasional (PN) kerana ramai dikalangan mereka yang mempunyai kes mahkamah belum selesai.
Ketuanya, Saiful Fariddil Jasmi menyatakan bahawa masih terdapat beberapa pemimpin dalam PN yang berdepan dengan kes mahkamah yang belum selesai.
Jelasnya, sikap pemimpin Pas ‘memilih bulu’ iaitu tidak mengambil tindakan tegas terhadap ahlinya sebaliknya lebih kerap memberikan pandangan dan nasihat kepada parti lawan.
“Inilah pemimpin Pas, sekiranya berlaku dikalangan ahli mereka buat-buat tak nampak dan sekiranya parti lawan maka mereka sibuk mengambil tahu dan memberikan nasihat.
“Tuan Ibrahim Tuan Man tidak mampu memberikan khidmat terbaik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan juga Ahli Parlimen di dua negeri berbeza. Sepatutnya beliau harus mengambil cuti dan berehat bukan sibuk menasihatkan orang lain.
“Sepatutnya beliau harus bercuti dan jagalah parti masing-masing, jangan sibuk ambil tahu hal parti UMNO dan jaga DUN serta Parlimen kawasan anda,” katanya kepada UMNO Online.
Saiful yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kangar juga melahirkan rasa hairan mengenai kedudukan Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli yang berdepan tuduhan serius namun sehingga kini tiada tindakan untuk mencutikan beliau daripada jawatannya.
“Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli yang juga ADUN Sanglang terpalit dengan kes mahkamah dan siasatan oleh SPRM. Kenapa beliau tidak dicutikan? Malah anak lelaki beliau pun terpalit pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM19,505.10 pada Februari lepas.
“Janganlah sikap ‘double standard’ mempertahankan tindakan pemimpin atasan mereka yang jelas terpalit kesalahan dan akhirnya akan ada fatwa terbaru untuk ‘cover’ pemimpin mereka,” ujarnya. – UMNO Online