Anak Muda Dipelawa Sertai Skuad Sabil Malaysia – Fazly Zainudin

KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Pesuruhjaya Skuad Sabil Malaysia, Datuk Mohamad Fazly Zainudin mempelawa anak muda yang berminat dengan aktiviti kesukarelawan untuk menyertai Skuad Sabil Pergerakan Pemuda UMNO.

Katanya, Skuad Sabil diberi latihan secukupnya bagi menyemai semangat sukarelawan dan pengorbanan dalam menghayati perjuangan UMNO memartabatkan Islam, bangsa dan negara.

“Syabas dan terbaik Skuad Sabil Malaysia, teruskan usaha membantu rakyat tidak kira apa jua keadaan sekalipun demi agama, bangsa dan negara. Kepada yang berminat bersama, kami akan memberi informasi mengenai kursus ini yang akan diadakan dari semasa ke semasa.

“Insya-Allah, Skuad Sabil Malaysia akan meneruskan lagi kursus latihan asas bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang akan diadakan di setiap negeri seluruh Malaysia.

“Penyertaannya terbuka kepada belia berumur lebih 18 tahun, cergas mental dan fizikal serta minat aktiviti kesukarelawanan,” katanya.

Fazly yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju menjelaskan terdahulu Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengumumkan elaun perkhidmatan kepada skuad Sabil Malaysia.

“Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengumunkan elaun kepada Skuad Sabil Malaysia sekiranya Angkatan Pertahanan Awam (APM) membuat panggilan bertugas jika berlakunya bencana seperti banjir dan sebagainya.

“Sebagai pasukan sukarelawan, apa pun yang berlaku sama ada bencana alam atau apa sahaja, kita tidak mahu bersaing dengan pihak berkuasa mahupun agensi.

“Kita adalah penyumbang kepada rakyat yang memerlukan dan jangan ada salah tafsir. Kita tidak akan timbulkan masalah kepada pasukan yang sedia ada,” ujarnya.

Terdahulu, seramai 216 orang Pegawai Skuad Sabil Malaysia telah mengikuti Kursus Latihan Asas merangkumi ilmu pertahanan awam, pengurusan bencana, pengurusan kecemasan dan sebagainya bersama APM di Pahang.

Anggota Skuad Sabil Malaysia ini melayakkan mereka menjadi ahli APM melalui Civil Defence Emergency Response Team (CDERT). – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.