Wanita UMNO Serlah Kehebatan Luar Biasa Sebagai Tulang Belakang Parti – Ahmad Zahid

AMPANG, 20 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini berbesar hati menyantuni Wanita UMNO Malaysia dalam menyemarak semangat wanita sebagai tulang belakang parti keramat ini.

Beliau pada pertemuan tersebut mengakui peranan Wanita UMNO yang amat luar biasa dengan semangat kental dan juang yang tinggi bagi memastikan agenda UMNO membela rakyat terus terbela.

“Seperti yang kita ketahui pelbagai cabaran dilalui Wanita UMNO sebagai seorang isteri, ibu, anak dan kerjaya maka sudah pasti Wanita UMNO yang luar biasa mampu memainkan peranan yang hebat dalam menguruskan kehidupan seharian,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian pada Kursus Pemantapan Jentera Wanita Luar Biasa di Grand Barakah Hotel, di sini,

Turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim dan kepimpinan lain.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut sama meluahkan kekaguman beliau dengan gerak kerja bersepadu Wanita UMNO dalam membantu kemenangan UMNO/Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri.

“Saya juga amat kagumi dan ingin mengucapkan tahniah kepada wanita UMNO yang diterajui Ketua Wanitanya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dan pimpinanya yang bekerja kuat turun padang berkempen memenangkan calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani pada PRK Nenggiri.

“Saya ucapkan terima kasih, syabas dan tahniah atas gerak kerja yang bersepadu dan terus kekalkan momentum kemenangan luar biasa ini pada PRK yang akan datang. Insya-Allah,” ujar beliau. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit