Aplikasi Pendekatan Baharu, Laksana Strategi Berkesan Untuk Kebangkitan UMNO – Hasnal Rezua Merican

SELAYANG, 18 Julai – Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican, mengemukakan strategi komprehensif bagi mengembalikan kegemilangan UMNO dalam landskap politik Malaysia hari ini.

Beliau menyorot beberapa pendekatan penting yang perlu diterapkan bagi memperkasakan parti dan menarik semula sokongan rakyat yang mencabar.

Katanya, penekanan pentingnya memberi kebebasan kepada cawangan-cawangan UMNO untuk berinovasi dan menyesuaikan strategi mereka dengan keperluan tempatan adalah amat penting.

“Kita tidak boleh mengekang sayap-sayap UMNO. Setiap cawangan perlu diberi kebebasan untuk merangkumi sokongan dari pelbagai lapisan masyarakat,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam usaha memperluaskan daya tarikan UMNO, beliau menekankan amalan pendekatan politik keterbukaan sebagai asas, diikuti dengan politik konstruktif dan kompromi untuk mencegah perpecahan dalaman yang boleh merosakkan perpaduan parti.

“Kita harus mengamalkan politik keterbukaan dalam setiap keputusan dan tindakan yang diambil, memastikan setiap anggota dan lapisan masyarakat merasa terlibat dan dihargai dalam perjalanan UMNO,” jelas beliau.

Selain itu, Hasnal Rezua menekankan kepentingan politik kasih sayang dalam menyatukan ahli UMNO dan memperluaskan pengaruh parti di kalangan rakyat.

“Politik kasih sayang bukan sekadar retorik tetapi satu pendekatan strategik untuk membangunkan hubungan yang lebih kukuh antara parti dan rakyat, memastikan setiap langkah dan inisiatif yang diambil mencerminkan keperluan dan kehendak rakyat,” katanya dengan penuh keyakinan.

Beliau juga mengemukakan empat cadangan strategik bagi memperkukuhkan kedudukan UMNO sebagai pemimpin dalam perjuangan politik Malaysia.

Antara cadangan tersebut termasuklah menangani isu-isu patriotisme dan nasionalisme yang belum diberi perhatian serius oleh pihak lain di Malaysia.

“Kita perlu mengisi kekosongan dalam perkara-perkara seperti pengurusan kebanjiran pendatang asing yang kritikal, pemalsuan kewarganegaraan, dan memulihkan hak tanah rezab Melayu, serta isu muflis yang kebanyakannya melibatkan orang Melayu,” tegas beliau.

 

Tambahannya, beliau menggariskan perlunya penyelesaian terhadap masalah muflis di kalangan masyarakat Melayu yang seringkali menghalang kemajuan ekonomi mereka.

“Kita perlu mengambil langkah berani untuk memberi peluang kedua kepada mereka yang terperangkap dalam status muflis dan membebaskan mereka daripada beban hutang yang merumitkan kehidupan seharian mereka.”

Dalam masa yang sama, beliau juga menyambut baik inisiatif Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkaitan pelaksanaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), seraya menyeru agar inisiatif ini melibatkan semua golongan, termasuk mereka yang cemerlang dalam pencapaian akademik.

“Pelaksanaan TVET haruslah menyentuh setiap segmen masyarakat, tidak mengira latar belakang atau kebolehan mereka, kerana setiap individu berpotensi untuk menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.

Beliau berharap dengan pendekatan baharu dan komitmen yang kukuh dari semua peringkat parti, UMNO akan dapat terus memainkan peranan penting dalam membawa kemajuan kepada negara dan kebaikan bagi seluruh rakyat. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.