Label Talam Dua Muka, Tapi Cari Sokongan UMNO
KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Exco Pemuda UMNO Malaysia, Muhammad Saifullah Ali menyambut saranan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh supaya Parlimen segera dibubarkan, sambil menegaskan bahawa UMNO tidak sepatutnya terus dipersalahkan atau dilabel sebagai ‘talam dua muka’ jika peranan parti itu dalam kerajaan tidak dihargai.
Menurutnya, jika benar ada pihak menganggap UMNO sebagai sebuah parti yang ‘talam dua muka’, maka pendirian itu perlu dibuktikan dengan tindakan, bukannya sekadar melemparkan tuduhan dan pada masa sama mahu UMNO terus kekal dalam kerajaan.
“Kalau UMNO ini talam dua muka, maka buanglah UMNO dari kerajaan ini. Jangan hanya pandai menuduh, tetapi dalam masa yang sama mahu UMNO terus berada dalam kerajaan apabila diperlukan.
“UMNO mempunyai maruah, prinsip dan akar umbi yang kukuh. Jangan anggap parti ini boleh dihina, dipersalahkan dan kemudian dicari semula apabila sokongan diperlukan. Kalau benar UMNO tidak diperlukan, maka jangan separuh jalan. Bubarkan Parlimen dan serahkan mandat kepada rakyat. Pemuda UMNO siap siaga bila-bila masa.
“Jangan sampai UMNO dijadikan kambing hitam apabila ada masalah, tetapi pada masa yang sama jasa, sokongan dan pengorbanan UMNO dalam memastikan kestabilan kerajaan pula dilupakan,” katanya.
Saifullah yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Puteh berkata, saranan Dr Akmal Saleh itu wajar dipandang serius kerana rakyat berhak menentukan sendiri hala tuju politik negara melalui pilihan raya.
“Jangan bercakap soal demokrasi hanya apabila ia menguntungkan. Kalau benar yakin dengan sokongan rakyat, ayuh kita pulangkan kuasa kepada rakyat.
“UMNO tidak pernah gentar. Kalau benar yakin dengan sokongan rakyat, segera bubarkan Parlimen dan biar rakyat menentukan siapa yang mereka mahu,” katanya lagi.
Tambah beliau, UMNO mempunyai sejarah, akar umbi dan kekuatan tersendiri untuk berdepan apa sahaja cabaran politik.
“Jangan cuba ugut atau tekan UMNO dengan label dan tuduhan. Kita tidak akan lari. Kalau mahu bertanding, kita bertanding. Kalau mahu rakyat menentukan, kita pulangkan mandat kepada rakyat.
“UMNO tidak takut kehilangan jawatan. Yang UMNO takut ialah apabila mandat dan suara rakyat dipermainkan demi kepentingan politik sesetengah pihak,” tegasnya.
Terdahulu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim pada Kongres Nasional AMK 2026 mendakwa Kerajaan Perpaduan sedang diuji oleh pihak yang mengamalkan politik ‘talam dua muka’ dan meletakkan kepentingan politik mengatasi kepentingan rakyat serta negara.
Terdapat pihak tertentu ‘berselingkuh secara terbuka’ ketika kepemimpinan negara sedang berusaha membina semula keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap pentadbiran Malaysia. – UMNO Online
