Mesyuarat Bahagian Landasan Perkukuh Saf Perjuangan, Yakini UMNO Untuk Masa Depan – Sharif Musa

LAHAD DATU, 20 Jun – Mesyuarat UMNO peringkat bahagian bakal bermula esok, 21 Jun yang akan berlangsung sehingga 29 Julai depan.

Dalam hal ini, Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul mengajak ahli-ahli UMNO untuk terus memperkukuh saf perjuangan dengan meyakini bahawa parti ini adalah platform terbaik dalam memastikan masa depan agama, bangsa dan tanah air.

“Sempena mesyuarat perwakilan UMNO bahagian kali ini, marilah kita menumpahkan sepenuh taat setia kepada parti, memberi sokongan padu yang tidak berbelah bahagi kepada institusi Presiden dan memperkuatkan iltizam untuk terus memperkasakan parti supaya UMNO terus kekal unggul sebagai wadah perjuangan kita yang suci,” katanya kepada UMNO Online.

Ujar beliau, adalah wajar bagi ahli-ahli UMNO untuk menginsafi bahawa pilihan raya adalah matlamat akhir parti.

“Oleh itu utamakan kepentingan perjuangan parti melebihi segala-galanya. Jika setiap daripada kita sanggup bekerja sepenuh hati untuk parti, meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi, saya percaya kita akan bersama-sama memastikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya nanti.”

Sharif Musa yang menggalas jawatan ketua UMNO Bahagian Lahad Datu selepas menang dalam pemilihan parti tahun lalu percaya bahawa parti akan bangkit kembali.

“Alhamdulillah, setahun lebih saya memegang jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, sepanjang tempoh tersebut ahli UMNO telah menyaksikan bagaimana UMNO Lahad Datu memimpin dalam keadaan kita tidak ada kuasa.

“Walau dalam keadaan UMNO Lahad Datu tidak mempunyai kuasa, tanggungjawab sentiasa berhubung dengan denyut nadi serta menggarap aspirasi rakyat.

“Hari ini UMNO Lahad Datu mempunyai tugas yang amat berat untuk memastikan empat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu perlimen kembali menjadi milik UMNO,” katanya lagi.

Terdahulu UMNO telah selesai bersidang di peringkat cawangan yang berlangsung pada 22 April hingga 2 Jun lalu di seluruh negara yang melibatkan lebih 20,000 Cawangan.

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pula akan berlangsung pada 21 sehingga 24 Ogos 2024. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.