Lawatan PM China Signifikan Untuk Kedua-Dua Negara – Azalina

KUALA LUMPUR, 20 Jun – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berpandangan bahawa lawatan Perdana Menteri China, TYT Li Qiang ke Malaysia amat signifikan untuk kedua-dua negara.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia memaklumkan demikian selepas berlangsung istiadat sambutan rasmi sempena lawatan rasmi Li Qiang di Dataran Perdana, Putrajaya pada Rabu.

“Telah berlangsung istiadat sambutan rasmi sempena Lawatan Rasmi TYT Li Qiang, Premier Republik Rakyat China ke Malaysia di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya. Ketibaan TYT Premier Li di Bangunan Perdana Putra disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum pemeriksaan kawalan kehormatan oleh TYT Premier Li.

“Turut hadir dalam acara sambutan rasmi tersebut termasuklah kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Haji Fadillah Yusof, rakan-rakan ahli jemaah menteri, diplomat asing serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

“Lawatan ini amat signifikan bagi kedua-dua negara kerana ia bersempena dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China,” katanya.

Untuk rekod, lawatan Li Qiang ke Malaysia yang bermula dari Selasa hingga Khamis ini adalah sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China berikutan penandatanganan Kenyataan Bersama oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein dan Chou En Lai pada 31 Mei 1974.

Selain itu, Li Qiang juga akan mengadakan kunjungan menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Hubungan diplomatik Malaysia dengan China bertambah kukuh sejak penaiktarafan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada tahun 2013. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.