Selesaikan Dahulu Masalah Air Di Kedah Sebelum Tawar Pembelian Untuk Pulau Pinang – Shaiful Hazizy

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata Menteri Besar negeri itu, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak seharusnya melakukan tindakan yang boleh ditertawakan pelbagai pihak.

Menurut beliau tindakan Sanusi yang mengajak Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow untuk berunding berhubung pembelian air daripada Negeri Kedah menimbulkan pelbagai persoalan.

“Menteri Besar Kedah sewajarnya tidak membuat tindakan yang boleh ditertawakan orang. Masalah air di Negeri Kedah seperti tiada titik noktah, rakyat Negeri Kedah sendiri menghadapi masalah bekalan air tetapi Sanusi boleh pula mengajak Ketua Menteri Pulau Pinang berunding untuk membeli air daripada Kedah.

“Sanusi seolah-olah tidak memikirkan dan langsung tidak hirau dengan rakyat sendiri. Rakyat Negeri Kedah menderita dengan masalah bekalan air, kelewatan penyiapan Loji Rawatan Air (LRA), masalah logistik dan macam-macam lagi.

“Paling teruk terjejas adalah Daerah Kuala Muda, terutama kawasan sekitar Tanjung Dawai, Bedong, Merbok dan Sungai Petani. Di Taman Gurun Jaya, kebanyakan penduduk terjejas dan terpaksa menunggu sehingga jam 2-3 pagi semata-mata mahu menadah air bagi kegunaan seharian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya lagi, kelewatan dua projek menaik taraf LRA Bukit Selambau dan LRA Sungai Limau di bawah agensi Kerajaan Negeri Kedah memberi kesan buruk kepada bekalan air rakyat Kedah di kebanyakan kawasan terjejas.

Tambah beliau SADA dilihat sangat perlahan dalam mengendalikan projek rawatan air bersih sehingga menyukarkan rakyat dalam menjalani kehidupan seharian terutama di kawasan Sungai Petani dan Merbok.

“Belum kita cerita soal masalah air di Langkawi sehinggakan menjejaskan MRSM Langkawi dan industri pelancongan. Pendakap khas dari Jerman atau apa sekali pun, berfikir dan bertindak segera untuk negeri sendiri bukan fikir untuk selesaikan masalah negeri orang lain.

“Selesaikan dahulu masalah air di Kedah dan Sanusi perlu bertindak sebagai seorang pemimpin yang memikir masalah rakyat. Nasihat saya berhenti merapu dan mula bekerja.

“Jangan pula akhir sekali nanti rakyat Kedah diperlakukan seperti perumpamaan ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah kelaparan’,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.