Jubli Emas:Keunikan Penyertaan Parti Berbilang Kaum, Resepi Kejayaan BN – Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 3 Jun – Penyertaan parti-parti komponen yang berbilang kaum untuk membentuk Barisan Nasional (BN) adalah satu keunikan dan resepi kejayaan parti itu sehingga membina negara dengan pesat serta membangun selama lebih 50 tahun.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan menerusi hantaran video di laman Facebooknya mengucapkan tahniah kepada barisan kepimpinan BN yang telah berjaya mengemudi parti sehingga mencapai 50 tahun penubuhannya pada 1 Jun lalu.

“Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada BN kerana telah menyambut jubli emasnya pada 1 Jun lalu, 50 tahun kewujudannya dalam landskap politik Malaysia. Saya ucapkan tahniah dan syabas kepada pengerusi BN serta presiden-presiden parti komponen yang telah berjaya mengemudikan parti untuk menjadi sebuah platform politik yang amat berjaya dalam sejarah Malaysia.

“Daripada sebuah negara yang dianggap negara ketiga, Malaysia telah diangkat oleh BN menjadi sebuah negara yang pesat membangun. Seperti yang disebut oleh Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam temubual pada Sabtu sempena Jubli Emas BN ini.

“Hari ini saya ingin memberi sedikit pandangan saya tetapi saya ingin membawa tuan-tuan dan puan-puan kepada dua perkara asas yang mungkin tidak pernah didengar sebelum ini dalam kita menceritakan tentang BN,” katanya.

Menurutnya, hujah-hujah yang dibawa oleh rakan komponen BN sudah semestinya eksklusif daripada kaum-kaum yang diwakili.

“Bagaimana keunikan BN itu telah membangunkan negara kita dengan begitu pesat dan telah membawa satu kestabilan politik perpaduan rakyat yang tidak boleh dinafikan oleh semua pihak? Pertama, BN adalah sebuah parti yang berbilang kaum. Namun, ahli-ahlinya adalah terdiri daripada parti-parti politik yang berasaskan kaum.

“Dibandingkan dengan parti-parti berbilang kaum di luar sana, ahli mereka adalah rakyat kebiasaan, kebanyakan. Itu bezanya. BN adalah parti yang berbilang kaum, di mana ahlinya adalah parti-parti politik yang berasaskan kaum. UMNO, MCA, MIC, kemudian parti-parti komponen daripada Sabah dan Sarawak.

“Hujah-hujah diberikan oleh parti-parti yang berasaskan kaum ini sudah tentu hanyalah eksklusif kepada kaum yang diwakili oleh mereka dan hitung panjangnya ini adalah tidak baik untuk negara. Jadi BN ditubuhkan bagi memberikan naratif yang lebih sederhana. Memberikan tawaran yang sederhana kepada rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Jelasnya, kesederhanaan politik yang dibawa oleh BN jelas dapat mematahkan hujah-hujah tajam pihak lawan.

“Mungkin tuan-tuan dan puan-puan tidak sedar ya UMNO tidak pernah bertanding dalam pilihan rakyat… yang bertanding adalah BN. Dacing. Atau kalau di negeri Sabah dipanggil timbangan. Di setengah-setengah kawasan di Semenanjung dikatakan kati. Kita bertanding atas logo dacing, sederhana dacing, progresif dacing dan dengan itu kita boleh membawa naratif yang lebih sederhana.

“Selagi BN itu wujud sebagai parti majmuk, parti berbilang kaum, naratif sederhana dan berbilang kaum itu telah berjaya kita bawa kepada rakyat. Itu keunikan BN. Naratif BN ini dapat menumpulkan ketajaman hujah-hujah dan retorik parti-parti berasaskan kaum yang menjadi komponennya. BN dapat menumpulkan ketajaman hujah dan debat daripada parti-parti yang berasaskan kaum.

“Sebab itu dalam kabinet kita ada orang Melayu, orang India, orang Cina, kaum-kaum daripada Sabah dan Sarawak sebagai satu kumpulan besar yang memberikan naratif tengah atau sederhana yang moderate kepada rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata BN juga tidak akan terkesan dengan sebarang pergolakan yang terjadi di dalam parti komponen.

“Kedua, BN juga dengan formula untuk menjadikan ahli itu dekat dengan parti-parti politik. Selalunya yang bergolak adalah parti-parti politik. Kita faham parti-parti politik sentiasa bergolak, sentiasa bergelora. UMNO mempunyai pergolakan politik yang cukup warna-warni. Begitu juga MCA, MIC, parti-parti komponen di Sabah dan Sarawak sejak Merdeka sampailah sekarang.

“Namun oleh kerana pergolakan itu terhad kepada parti-parti komponen, maka BN secara keseluruhannya dapat dilindungi daripada gelora dan gelombang serta pertikaian yang begitu serius. Maksudnya BN itu tidak bergolak seperti parti-parti komponen, UMNO mungkin bergolak, MCA, MIC, tetapi BN mampu berjalan dengan stabil, bersatu padu dan kuat tanpa ada banyak sangat masalah.

“Contohnya kalau ada perubahan kepimpinan dalam komponen, maka yang berlaku ialah kepimpinan dalam parti itu akan berubah tetapi pemimpin yang baru atau yang lama yang dikekalkan itu tetap akan menjadi pemimpin BN. Jadi begitu unik keadaan ini. Bayangkan kalau parti yang berbilang kaum itu ahli-ahnya terdiri daripada rakyat biasa. Semuanya melawan untuk bertanding presiden. Parti mereka pecah dua, pecah tiga, pecah empat. Akhirnya parti itu akan bergolak. Tetapi BN, dia tidak kira, dia tidak ada pertandingan. Siapa yang menjadi pemimpin kepada komponen parti, maka pemimpin-pemimpin itu diangkat sebagai pemimpin tertinggi BN,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mendoakan agar BN terus menjadi parti politik yang relevan untuk mentadbir negara dan meneruskan agenda perjuangan.

“Dua reason, dua alasan, dua hujah yang mungkin tidak pernah didengar oleh tuan-tuan sekalian yang menyebabkan BN begitu sukses dalam membentuk sebuah negara yang bersatu padu, maju selama lima puluh tahun memerintah negara ini.

“Insya-Allah, saya doakan BN terus kekal menjadi sebuah parti politik yang relevan dalam konteks politik negara Malaysia supaya apa yang telah diidamkan oleh BN selama ini dapat kita teruskan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju, merdeka, harmoni, bersatu padu dalam kita melangkah ke depan. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.