Pahang Hantar Bantuan Kemanusiaan Bernilai RM1.602 Juta Ke Gaza

KLANG, 20 Mei – Kerajaan Negeri Pahang menerusi Sekretariat Pahang4Palestine dengan kerjasama Ops Ihsan hari ini melancarkan Misi Bantuan Kemanusiaan Dari Pahang ke Gaza.

Menteri Besar Pahang yang juga Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memaklumkan bahawa misi penghantaran barangan bantuan ini adalah hasil kutipan derma awam menerusi tabung Pahang4Palestine.

Menurut beliau tabung tersebut mula digerakkan setelah penganjuran Himpunan Solidariti Pahang4Palestine di Kuantan, Pahang pada 28 Oktober 2023.

“Jumlah kutipan derma menerusi tabung Pahang4Palestine sehingga hari ini (20 Mei 2024) adalah berjumlah RM1.602 juta hasil sumbangan pelbagai pihak di negeri Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan selepas pelancaran tersebut di Pelabuhan Klang, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi Pahang4Palestine, Fadzli Mohamad Kamal;
Duta Besar Mesir ke Malaysia, Ragai Tawfik Said Nasr; Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali dan Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan, Jismi Johari.

Bantuan tersebut merupakan 30 tan barang seperti pek makanan retort iaitu nasi arab ayam dan nasi arab kambing, selimut dan juga ubat-ubatan akan dihantar menerusi jalan laut.

Kapal tersebut akan bergerak dari Pelabuhan Klang pada 1 Jun 2024 dan dijangka akan tiba di Pelabuhan Said, Mesir pada 4 Julai.

Untuk rekod, misi kemanusiaan ini merupakan kali kedua yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Pahang, manakala kali pertama pada tahun 2021 dengan menyalurkan wang tunai RM700,000 untuk membaik pulih masjid dan sekolah yang musnah dalam serangan Rejim Israel menerusi Kempen Dana Tabung Pahang For Palestine dan Pelancaran Projek Rakyat Pahang di bumi Gaza.

Dalam pada itu, Wan Rosdy yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang turut membidas tindakan Rejim Israel ke atas penduduk awam Palestin di Gaza yang telah mengorbankan lebih 35,000 nyawa yang rata-ratanya terdiri daripada kanak-kanak, wanita dan orang tua.

“Mendesak supaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan negara-negara seluruh dunia mencari jalan penyelesaian bagi menghentikan konflik kemanusiaan yang begitu kritikal di Gaza dan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan dengan segera.

“Sama-samalah kita berdoa semoga misi penghantaran barang bantuan kemanusiaan dari Pahang ke Gaza mencapai objektifnya dalam membantu meringankan penderitaan dan kesengsaraan penduduk Gaza yang sehingga ke hari ini terus dizalimi, ditindas dan dibunuh oleh Rejim Israel tanpa ada sedikitpun rasa belas ihsan dan simpati,” ujar beliau.

Sehingga ke hari ini Kementerian kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas pada Jumaat, berkata sekurang-kurangnya 35,303 orang terbunuh di wilayah itu selama lebih tujuh bulan perang antara Israel dan pejuang Palestin.

Jumlah korban, termasuk sekurang-kurangnya 31 kematian dalam tempoh 24 jam yang lalu, kata satu kenyataan kementerian, sambil menambah bahawa 79,261 orang cedera di Semenanjung Gaza sejak perang bermula apabila pejuang Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.