Tauladan PRK KKB… Cabaran Perjalanan Perjuangan UMNO

PRK antara paling sukar pernah saya hadapi sejak bergiat dengan politik tanah air bermula tahun 1988 ialah di KKB. Sukar sungguh.

KKB, Kiri Kanan Bukit, kata penduduk tempatan, bukit-bukit cabaran perjalanan perjuangan. Namun digagahi juga untuk pergi balik dalam tempoh 12 hari, 12 kali ke sana.

Tugas untuk menawan hati pengundi Melayu agar mengundi calon Dap Sdri Pang Sock Tao daripada Pakatan Harapan bukannya mudah. Kami gunakan istilah calon Perpaduan sejak mula berkempen.

Saya diminta berucap oleh Datuk Megat Zulkarnain Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Setiausaha Politik kepada YAB TPM1 untuk mewakili UMNO/BN pada hari memperkenalkan calon. Formula ABCDE saya kongsikan untuk menang iaitu Aktiviti, Berpadu, Calon, Data & Emosi.

 

Ketika berucap dalam siri kempen seterusnya, saya bertanya kepada yang hadir sama ada ingin jadikan KKB kawasan pembangkang atau kawasan kerajaan? Mereka menjawab dengan lidah yang fasih “kerajaan” dan tentu lega hati semua bila mendengar jawapan itu.

Seterusnya diceritakan Kerajaan tergantung 5 hari selepas PRU15 yang akhirnya UMNO/BN menjunjung Titah SPB YDP Agong agar diwujudkan Kerajaan Perpaduan.

Ditambah sudah ada 3 orang YB Pembangkang di Hulu Selangor, Hulu Bernam dan Batang Kali. Cukuplah jumlah itu. Berilah calon Perpaduan di KKB untuk menjadi jambatan bagi Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri yang tentunya lebih adil serta berusaha secara berterusan untuk membangunkan KKB.

Dalam siri ceramah kelompok, berdepan orang UMNO, saya minta YB Steven Sim, Setiausaha Organisasi DAP agar mengakui bahawa DAP menyokong kedudukan Islam, hak istimewa Bumiputera, Raja-Raja Melayu dan Bahasa Melayu. Dan beliau telah mengesahkannya. Dalam Ceramah Grand Finale, YB Anthony Loke, Setiausaha Agong DAP juga menyebut yang DAP menyokong 4 perkara utama itu.

Di pentas itu juga saya menitipkan pantun ini:

Jika tuan, pergi memancing,
Dalam baldi, berisi umpan;
Kami sekarang, sudah kamceng,
Demi generasi, masa hadapan.

 

Banyak yang terlibat dalam meraih kemenangan di KKB. Bermula dengan Presiden UMNO DS Dr Ahmad Zahid, YB Timbalan, 3 Naib, ramai Ahli MKT, Wanita, Pemuda, Puteri, Veteran dan tentunya juga atas jawatan parti, PMX DS Anwar, MB Selangor DS Amirudin, beberapa orang MB, Menteri, Timbalan, Exco serta pimpinan parti Amanah, DAP, PKR, MIC, Friends of BN dan banyak NGOs, UMNO Hulu Selangor Dato Isa, Dato Rosni dan UMNO Negeri Selangor 5 peringkat, 4 negeri serta 21 bahagian angkat serta ramai lagi. Terima kasih banyak kepada mereka semua.

Kepada YB baru, YB Puan Pang Shock Tao, ada banyak surat-surat permohonan rakyat diberi kepada saya ketika di sana. Salinannya akan saya beri kepada YB, selain saya juga akan turut membantu. YB akan menerima banyak lagi surat. Jadilah YB yang tekun dan gigih dalam memberi khidmat terbaik untuk rakyat.

Pantun orang dulu ada menyebut;

Jika mencari, tempat mandi,
Pertama telok, kedua landai;
Jika mencari, pemimpin negeri,
Pertama elok, kedua pandai.

Maka jadilah YB yang elok dan pandai. Saya yakin Saudari boleh melakukannya.

Sekian,
Salam Perjuangan,
Salam Perpaduan,
Salam Malaysia Madani,
Salam Hari UMNO 11 Mei.

Ahmad bin Maslan

Ketua Sekretariat War Room, Ahli MKT UMNO.
12 Mei 2024.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.