Anak Kelahiran Jerai Antara Mangsa Nahas Helikopter, Jamil Khir Rakam Takziah

KUALA LUMPUR, 23 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengucapkan takziah buat keluarga semua mangsa korban tragedi nahas helikopter di bumi Lumut.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jerai turut merakamkan kedukacitaan serta kesedihan buat semua keluarga dan handai taulan khusus buat keluarga Allahyarhamah Nur Rahiza Anuar yang berbetulan anak kelahiran Jerai.

“Buat semua wira dan wirawati bangsa gugurmu adalah seumpama gugurnya bunga-bunga bangsa yang mewangi hingga ke jannah sebagai ganjaran bagi mereka yang mendapat kemuliaan bergelar para syuhada.

“Kami sekalian rakyat Malaysia yang menghirup udara keamanan dan kemakmuran menghargai jasa para perajurit khususnya para arwah yang bertugas mempertahankan negara dan kedaulatannya. Doa kami tenanglah dikau di sisi Tuhan-Mu di samping kenikmatan wangian syurga yang menanti,” katanya dalam kenyatan hari ini.

Terdahulu, dilaporkan dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bertembung dan terhempas pada pagi Selasa dengan kesemua 10 mangsa yang terlibat dalam nahas dua helikopter Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilaporkan maut.

Tiga mangsa berada dalam helikopter jenis Fennec M502-6 manakala tujuh lagi berada di dalam helikopter HOM M503-3.

Dua pesawat malang itu berlepas dari Padang Sitiawan, Perak pada pukul 9.03 pagi untuk latihan lintas hormat sempena sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.