Hargai Jasa UMNO, Legasi Kepimpinan Tidak Ternilai Angkat Usaha Majukan Negara – Fikhran Hamsi

KUALA LUMPUR, 22 April – Hasil kepimpinan perjuangan UMNO sememangnya telah berjaya untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju dan progresif.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Fikhran Hamsi Mohamad Fatmi berkata nilai-nilai Malaysia yang unggul dapat diwujudkan melalui para pemimpin negara sejak perjuangan menuntut kemerdekaan, pembangunan dan perjuangan negara yang dipelopori oleh UMNO

Katanya, ini kerana terdapatnya kestabilan politik, perkembangan ekonomi, tahap pendidikan berjaya dicapai dek kerana legasi kepimpinan daripada UMNO bermula Tunku Abdul Rahman Putra menjadi Perdana Menteri pertama lagi. 

“Selepas hampir 66 tahun merdeka, Malaysia telah mempunyai 10 orang Perdana Menteri sejak tahun 1957. Daripada 10 orang Perdana Menteri tersebut, lapan orang daripadanya merupakan Presiden dan Naib Presiden UMNO. Malah, kalau diikutkan kesemua Perdana Menteri lahir daripada kilang UMNO.

“Sememangnya, bukan satu tugas mudah untuk menggantikan para pemimpin yang datangnya daripada kilang UMNO.

“Walaupun UMNO adalah sebuah parti yang digagaskan untuk orang Melayu, tetapi dalam aspek pentadbiran negara, pemimpin-pemimpin UMNO telah memainkan peranan sebagai kerajaan yang mengangkat sosioekonomi rakyat yang pelbagai kaum dan agama,” katanya kepada UMNO Online.

Fikhran yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kota Bharu berpendapat sepanjang kepimpinan UMNO mentadbir negara banyak perkara yang dibina semata-mata mahukan kehidupan rakyat menjadi lebih baik.

“Kepimpinan UMNO ketika itu juga berada pada tahap yang sangat tinggi dan mempunyai visi masa depan yang panjang. Hal ini membantu kepada peningkatan dan perkembangan taraf kualiti kehidupan dalam negara.

“Seperti contoh, pentadbiran Tun Abdul Razak telah membangunkan senario ekonomi yang moden dan saksama melalui Dasar Ekonomi Baharu (DEB). Polisi tersebut diimplimentasikan sebagai satu wadah untuk memajukan Malaysia dan mengubah sektor ekonomi Malaysia daripada pertanian kepada sektor industri. Melalui dasar tersebut juga, Malaysia telah melahirkan ramai usahawan dan tokoh-tokoh korporat yang menjadi pemacu kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Pendekatan sederhana dan memberi autonomi kepada rakyat yang diberikan oleh Tun Abdullah Badawi menunjukkan pemimpin daripada UMNO amat dekat dengan rakyat. Beliau telah membangunkan dasar yang lebih manusiawi melalui pendekatan Islam Hadhari,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, Tun Abdullah Badawi juga mengutamakan pembangunan modal insan yang menyeluruh iaitu kehandalan minda mempunyai kekuatan moral, integriti dan rohani sekaligus membuahkan hasil dalam memupuk percambahan kualiti modal insan dalam jati diri.

Pada masa yang sama kata Fikhran lagi, tidak ketinggalan juga Perdana Menteri Malaysia yang keenam telah membawa negara ini ke arah pemodenan ekonomi negara dan berjaya membangunkan banyak infrastruktur baharu untuk menarik pelaburan asing ke dalam negara.

“Mungkin… jasad beliau (Datuk Seri Najib Razak) dipenjara ketika ini, tetapi jasa beliau sudah mula dinikmati oleh rakyat dan negara. Antaranya ialah bangunan Merdeka PNB118 yang merupakan antara projek yang dibangunkan ketika dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) tinggi secara konsisten. Hasilnya, Merdeka 118 kini berdiri megah dan menjadi simbol baharu negara kerana mempunyai ciri-ciri moden dan futuristik yang ketara.

“Malah, di bawah kepimpinan beliau juga rakyat menjalani kehidupan yang mudah khususnya dalam aspek pengangkutan awam. MRT dan LRT3 yang dimulakan semasa era beliau memberikan kelegaan dan kesenangan kepada mobiliti rakyat khususnya yang berada di kawasan bandar.

“Tidak boleh dilupakan, pusat sehenti seperti Pusat Transformasi Bandar dan Pusat Transformasi Luar Bandar (UTC) ternyata memberikan impak positif kepada urusan seharian rakyat khususnya di kawasan bandar dan luar bandar,” ujarnya.

Malah kata Fikhran lagi, bukan sahaja beliau memajukan ekonomi di Semenanjung, tetapi juga taraf ekonomi di Sabah dan Sarawak turut ditingkatkan apabila membina projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo.

“Dalam usaha untuk menambah darjah ketersampaian khususnya di Borneo, beliau juga telah memulakan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak yang merupakan lebuhraya tanpa tol yang pertama di Malaysia.

“Hal ini dapat merancakkan lagi sektor ekonomi di kedua-dua buah negeri berkenaan dan telah menyelesaikan isu jalan raya rosak di Sabah dan Sarawak,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.