Titah Adendum Ungkap Kesetiaan Dan Persahabatan

AKHIRNYA, misteri siapakah ‘saksi kritikal’ yang akan dikemukakan oleh peguam Datuk Seri Najib Razak kepada Mahkamah Tinggi dalam semakan kehakiman kes Datuk Seri Najib telah terjawab.

Semalam, terbongkar bahawa YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah mengemukakan satu afidavit menyokong permohonan Datuk Seri Najib selepas peguam Datuk Seri Najib mendedahkan kewujudan titah adendum (tambahan) agar Datuk Seri Najib menjalani baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah.

Walaupun perjalanan semakan kehakiman ini masih jauh, namun satu perkara yang dapat diterima sebagai fakta adalah bahawa Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi sentiasa ikhlas dalam memperjuangkan nasib Datuk Seri Najib.

Dengan kedudukan beliau yang selesa sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Desa Dan Wilayah, beliau boleh saja berdiam diri dan tidak melakukan apa-apa, membiarkan Datuk Seri Najib berseorangan. Namun, beliau tetap melakukan tindakan yang sewajarnya.

Tindakan beliau ini pastinya akan menimbulkan rasa tidak senang di kalangan ramai pihak, tetapi atas nama kesetiaan dan kebenaran, beliau tetap mengambil langkah tersebut. Ini sesuatu yang tidak boleh disangkal oleh sesiapa.

Selama ini, pelbagai kata fitnah dilemparkan kepada beliau sebagai Presiden UMNO. Keputusannya untuk membawa UMNO sebagai sebahagian daripada kerajaan hari ini telah membuatkan beliau diserang dari luar dan dalam parti.

Ada yang memfitnah bahawa beliau membawa UMNO ke dalam kerajaan semata-mata untuk menyelamatkan dirinya sendiri dan akan meninggalkan Datuk Seri Najib berseorangan, namun beliau telah membuktikan sebaliknya.

Sebagai sebahagian daripada kerajaan, UMNO dapat menjadi penyeimbang kepada Pakatan Harapan (PH) sebagai pembuat dasar kerajaan.

Sebagai sebahagian daripada kerajaan, UMNO dapat menjaga kepentingan Melayu & Islam melalui kedudukan dalam pentadbiran sebagai menteri dan timbalan menteri.

Sebagai sebahagian daripada kerajaan, UMNO dapat mendapat maklumat yang tidak terdedah kepada mereka yang diluar kerajaan. Dan hari ini, dengan UMNO menjadi sebahagian daripada kerajaan, gerakan untuk memberikan keadilan kepada Datuk Seri Najib mendapat momentum yang lebih kuat.

Hari ini, Datuk Seri Zahid selaku Presiden UMNO telah membuktikan kesetiaan beliau kepada UMNO dan perjuangan UMNO serta setiakawan beliau kepada Datuk Seri Najib.

Hari ini, kita selaku ahli UMNO perlu membuktikan kesetiaan kita kepada UMNO dengan berdiri teguh di belakang institusi presiden.

Belajarlah kita dari pengalaman lampau apabila kita sendiri yang menghilangkan kepercayaan rakyat terhadap UMNO apabila kita sendiri memburukkan institusi presiden.

Salam Perjuangan

𝗠𝗢𝗛𝗗 𝗦𝗛𝗨𝗞𝗥𝗬 𝗕𝗜𝗡 𝗥𝗢𝗦𝗟𝗔𝗡
Penulis 𝘢𝘥𝘢𝘭𝘢𝘩 𝘒𝘦𝘵𝘶𝘢 𝘗𝘦𝘯𝘦𝘳𝘢𝘯𝘨𝘢𝘯 𝘜𝘔𝘕𝘖 𝘉𝘢𝘩𝘢𝘨𝘪𝘢𝘯 𝘚𝘦𝘭𝘢𝘺𝘢𝘯𝘨. 𝘔𝘢𝘯𝘵𝘢𝘯 𝘱𝘦𝘯𝘤𝘦𝘳𝘢𝘮𝘢𝘩 𝘥𝘢𝘯 𝘛𝘦𝘯𝘢𝘨𝘢 𝘗𝘦𝘯𝘨𝘨𝘦𝘳𝘢𝘬 𝘉𝘪𝘳𝘰 𝘛𝘢𝘵𝘢𝘯𝘦𝘨𝘢𝘳𝘢. 𝘈𝘬𝘵𝘪𝘷𝘪𝘴 𝘴𝘦𝘳𝘵𝘢 𝘱𝘦𝘯𝘤𝘦𝘳𝘢𝘮𝘢𝘩 𝘣𝘦𝘣𝘢𝘴 𝘶𝘯𝘵𝘶𝘬 𝘭𝘪𝘵𝘦𝘳𝘢𝘴𝘪 𝘱𝘰𝘭𝘪𝘵𝘪𝘬, 𝘱𝘦𝘳𝘭𝘦𝘮𝘣𝘢𝘨𝘢𝘢𝘯 𝘥𝘢𝘯 𝘯𝘢𝘴𝘪𝘰𝘯𝘢𝘭𝘪𝘴𝘮𝘦

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.