UMNO Mustahil Senasib Sabun Cap Kapak

SAYA tertarik untuk mengulas artikel Utusan Malaysia bertajuk UMNO senasib sabun cap kapak yang yang dahulunya terpaling popular namun kini telah jatuh reputasinya. Pilihan Raya Umum (PRU) 2022 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri merupakan satu ‘wake up call’ yang besar bagi UMNO dan sudah pasti ia banyak menyedarkan kami.

Justeru, tanpa berlengah di peringkat pucuk pimpinan parti telah mengambil tindakan proaktif dan terkehadapan walaupun ada yang mencemuh namun lebih ramai yang menyokong tindakan nakhoda UMNO yang telah mengambil keputusan yang terbaik dengan menjunjung kasih seruan Yang di-Pertuan Agong Malaysia.

Kami di barisan kepimpinan, penggerak dapat merasakan pelbagai perubahan telah pun diambil oleh pucuk pimpinan antaranya bermula daripada dalaman UMNO sendiri yang mana UMNO kini mempunyai nakhoda yang berwawasan jauh untuk menerajui parti.

Mereka yang tidak setia serta gagal mengikuti displin parti telah pun terkeluar daripada barisan. Percayalah, UMNO tidak diminati adalah kerana permainan persepsi jahat yang berterusan dimainkan oleh pihak lawan yang mengambarkan UMNO adalah parti yang paling buruk dalam negara ini biarpun parti UMNO inilah yang banyak berjasa kepada rakyat melalui segala dasar-dasar yang telah dilaksanakan di dalam pentadbiran negara dan juga peringkat negeri pada masa dahulu dan kini.

Pihak parti lawan menjadikan kelompongan-kelompongan kecil dalam pentadbiran Barisan Nasional (BN) pada ketika itu sebagai senjata untuk menyerang habis-habisan walhal mereka di sebelah sana juga penuh dengan kes-kes yang sedang berbangkit.

Selepas PRU 2022 banyak menyaksikan beberapa negeri telah berada di bawah kekuasaan parti lawan, namun dapat dilihat kelemahan-kelemahan yang sedang mereka catatkan semakin jelas dan tidak terbendung lagi.

Benarlah kata pepatah, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Inilah yang dapat diperhatikan, kelemahan-kelemahan semasa pihak lawan mengkritik sebelum ini banyak yang tidak boleh dilakukan oleh mereka malahan lebih teruk lagi sebenarnya.

Pengundi muda dan golongan atas pagar sebagai kuasa penentu kepada keputusan pilihan raya kelak. Saya merayu dan menyeru agar pengundi muda yang sentiasa mengikuti perkembangan semasa melalui media sosial untuk membuat penilaian dan keputusan yang seadilnya apabila PRU 16 nanti.

Bezakan antara fitnah, persepsi dan menilai sebaiknya prestasi parti UMNO yang bertungkus-lumus membantu rakyat sama ada di peringkat pusat hinggalah ke peringkat cawangan.

UMNO sentiasa berdamping dan membantu rakyat. Percayalah, walaupun UMNO dilabel dengan bermacam gelaran yang negatif untuk terus berusaha menjatuhkannya, namun tugas kebajikan kepada rakyat tetap diutamakan oleh pemimpin-pemimpin UMNO.

Jangan lupa, Islam, Melayu dan negara adalah asas penubuhan parti UMNO. Dalam apa keadaan sekalipun, UMNO tidak pernah meminggirkan asas perjuangan ini.

Ini dapat dibuktikan melalui suara lantang UMNO dalam memperjuangkan perkara 3R (agama, bangsa dan Raja) yang telah termaktub didalam perlembagaan Malaysia. Percayalah, suatu masa nanti rakyat kembali akan memberi sokongan kepada parti UMNO di atas segala kebaikan telah dibuat dengan istiqamah walaupun dicemuh dan difitnah.


RUZAINI RAIS
Ketua UMNO Bahagian Padang Besar

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.