Menteri UMNO/BN Kompeten Laksana Tanggungjawab… Pengalaman Dimiliki Jadi Sandaran, Buka Mata Rakyat – Mohd Hilmi

KUALA LUMPUR, 12 April – Pemimpin UMNO/Barisan Nasional (BN) yang membarisi Kabinet Kerajaan Perpaduan sememangnya kompeten dalam melaksanakan portfolio mereka seperti yang diamanahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang, Mohd Hilmi Elias.

Menurut beliau, pengalaman dimiliki menjadi sandaran kepada mereka untuk membuka mata rakyat bahawa pemimpin UMNO/BN serius dalam mengangkat isu rakyat.

“Setelah lebih setahun kepimpinan Kerajaan Madani, mahu tidak mahu, prestasi pemimpin-pemimpin UMNO dalam kerajaan Perpaduan dilihat lebih kompeten dan berwibawa.

“Perkara tersebut boleh membuka mata rakyat terutama generasi muda apabila terbukti barisan kepimpinan utama dari UMNO dilihat lebih bekerja dalam membawa aspirasi rakyat berbekalkan pengalaman luas dimiliki mereka,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh berkata tiada isu kontroversi di kementerian masing-masing, malah pretasi ditunjukkan oleh mereka boleh dilihat setiap hari lebih mengatasi pimpinan dari parti Kerajaan Perpaduan yang lain.

Mohd Hilmi dalam pada itu berkata, kepimpinan UMNO di pelbagai peringkat juga memainkan peranan tersendiri sebagai semak dan imbang ke arah kemampanan kerajaan hari ini.

“Malah pimpinan UMNO yang berada di luar barisan Kabinet sekalipun dilihat mampu menegur kerajaan dalam beberapa perkara yang dilihat tidak berpihak kepada kepentingan rakyat.

“Perkara-perkara seperti ini sepatutnya membuka mata banyak pihak bahawa parti UMNO bukan sekadar parti politik biasa tetapi sebuah parti yang mempunyai sistem perkaderan kepimpinan pelapis terbaik untuk negara dan sentiasa relevan dalam pembentukan asas sebuah negara yang berdaulat,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.