Kekalkan Sifat Kasih Sayang Dan Bermuafakat Sambut Aidilfitri – Mohd Rafi

LABUAN, 11 April – Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan berharap sifat kasih sayang dan bermuafakat yang tersuntik dalam bulan Ramadan lalu dapat dikekalkan pada Syawal.

Beliau berkata, Ramadan juga adalah waktu untuk menghargai masa bersama keluarga, rakan-rakan dan sebagai pemimpin sudah tentu rakyat di peringkat akar umbi akan dapat merasai jiwa terdidik iaitu bukan hanya menahan lapar semata-mata.

“Saya selalu melihat dan merasakan kemeriahan hidup bermasyarakat baik di kampung dan bandar. Melalui program-program ziarah yang diadakan sepanjang bulan Ramadan lalu saya dekat dengan denyut nadi rakyat menyelami masalah mereka. Harapan saya moga sifat kasih sayang dan bermuafakat ini dapat dikekalkan,” katanya dalam perutusannya sempana sambutan hari raya Aidilfitri tahun ini.

Dalam pada itu Mohd Rafi yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO turut mengingatkan rakyat khususnya di Pulau Bebas cukai itu agar berhemah berbelanja semasa menyambut hari raya Aidilfitri tahun ini.

Katanya negara masih dalam pemulihan ekonomi setelah terjejas dengan penularan COVID-19 beberapa tahun lepas yang sedikit sebanyak turut menjejaskan ekonomi negara dan turut memberikan kesan kepada rakyat.

“UMNO Labuan sedar keadaan ini, kerana itu sepanjang Ramadan ini kita turun padang menyampaikan sumbangan yang termampu kepada golongan yang memerlukan bagi meringankan beban kewangan mereka,” katanya.

Menurut Mohd Rafi yang paling penting ketika menyambut hari raya Aidilfitri ini ialah semangat muhibah dan harmoni melalui budaya kunjung mengunjungi perlu terus dilestarikan agar perpaduan dapat dicapai walaupun rakyatnya terdiri dari pelbagai bangsa dan agama.

“Mari kita harmonikan sambutan Adilfitri tahun ini dengan budaya kunjung mengunjungi, eratkan perpaduan sesama kita, dan menolak eleman negatif yang cuba dimainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab termasuk yang selalu melabelkan UMNO sebagai parti ekstrim demi kepentingan politik mereka,” tegas Mohd Rafi.

Sambil mengucapkan Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin bersama isteri dan keluarga, Mohd Rafi berharap sinar Syawal yang bakal menjelma akan membawa seribu keberkatan kepada semua pihak.

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.