Manfaatkan Aidilfitri Sebaiknya… Sambut Bersama Keluarga Tercinta – Johari

KUALA LUMPUR, 9 April – Naib Presiden UMNO merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berharap sambutan Aidilfitri ini dimanfaatkan sebaiknya oleh warga kota bagi meraikannya dengan ceria dan keinsafan.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, berkata ini kerana hari raya merupakan peluang untuk mereka pulang ke kampung halaman tercinta untuk bersama-sama berkumpul dengan sanak saudara.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk ucapkan selamat hari raya kepada seluruh warga Wilayah Persekutuan. Saya juga doakan dalam perjalanan balik ke kampung kita berhati-hati memandu dengan cara berhemah.

“…supaya kita dapat menyambut raya ini dengan begitu gembira, aman dan selamat kembali ke Kuala Lumpur dan mulakan pekerjaan.

“Seperti biasa, bila raya ini kita semua akan mencari keluarga dan kumpul beramai-ramai dan kita mesti ceriakan raya ini walaupun kita ada banyak masalah di luar sana tetapi apabila raya, kita mesti raikan dengan ceria,” katanya.

Terdahulu, kerajaan memaklumkan kemudahan tol percuma selama dua hari pada 8 dan 9 April ini kepada semua pengguna lebuh raya yang akan pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri tahun ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pengecualian tol akan diberikan di semua plaza tol kecuali di sempadan negara, iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor.

Beliau berkata, pemberian tol percuma itu akan dilaksanakan di semua lebuh raya bermula pada jam 12.01 tengah malam, 8 April (Isnin) dan akan berakhir pada 11.59 malam, 9 April (Selasa) dengan peruntukan bayaran pampasan berjumlah RM37.6 juta. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.