Aidilfitri Platform Terbaik Eratkan Silaturahim Bersama Keluarga Tersayang – Rosni

KUALA LUMPUR, 9 April – Sambutan Hari Raya Aidilfitri merupakan platform terbaik untuk mengeratkan silaturahim bersama keluarga, kata Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni Zahari.

Jelas beliau, ini kerana di sebalik kesibukan bekerja untuk mencari rezeki, hubungan kekeluargaan perlu dieratkan bersama insan tersayang.

“Eratkanlah silaturahim bersama keluarga apabila kita berada di kampung nanti,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran dalam pada itu berpesan kepada rakyat Malaysia yang mahu pulang ke kampung untuk menyemak rumah sebelum memulakan perjalanan.

“Kepada anak-anak perantau yang nak balik kampung nanti supaya berhati-hati di jalan raya dan memeriksa keadaan rumah sebelum memulakan perjalanan,” ujar beliau.

Sementara itu, sempena Aidilfitri ini Kementerian Kerja Raya (KKR) memaklumkan had laju di jalan Persekutuan di seluruh negara dikurangkan 10 kilometer sejam (km/j) bermula 8 hingga 14 April sempena perayaan Aidilfitri.

Dalam kenyataan diberikan, memaklumkan bahawa sepanjang tempoh itu had laju di jalan persekutuan diturunkan kepada 80km/j berbanding 90km/j.

Kementerian itu memaklumkan, pengurangan sementara had laju selama seminggu berkenaan antara langkah keselamatan dan pemantauan diambil kerajaan bagi meningkatkan keselamatan dan mengurangkan risiko kemalangan jalan raya berdasarkan data sejarah kemalangan jalan raya semasa musim perayaan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.