Ahmad Zahid Ajak Manfaatkan Aidilfitri, Bina Iltizam Perkukuh Perpaduan


KUALA LUMPUR, 9 April – Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengajak seluruh rakyat untuk memanfaatkan Aidilfitri ini bagi membina iltizam demi memperkukuh perpaduan dan membentuk kebersamaan sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang kehidupan, budaya, keturunan dan pegangan agama.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian dalam ucapan sempena hari raya Aidilfitri.

“Sesungguhnya kehadiran Aidilfitri ini merupakan nikmat besar dari Allah SWT kerana kita berkesempatan mengerjakan ibadah berpuasa yang dituntut di dalam Islam, ianya juga merupakan perundangan dan madrasah agar kita sentiasa memperkukuh ukhuwah dan tali persaudaraan sesama muslimin dan muslimat,” katanya dalam hantaran menerusi Facebooknya.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengajak umat Islam untuk saling bermaafan.

“Marilah kita bersama-sama menyambut hari lebaran dengan penuh kegembiraan ini sebagai lambang kejayaan umat Islam. Marilah juga kita bermaaf-maafan, melupakan sebarang sengketa agar lebaran ini lebih bermakna buat kita semua serta bersyukur di atas segala nikmat yang dikurniakan.

“Semoga setiap langkah kita dipenuhi dengan rahmat dan berkah dari Allah SWT. Selamat hari raya Aidilifitri, maaf zahir dan batin.”

Dalam ucapan terbabit beliau turut menyertakan serangkap pantun:

Indah langit kerana awan,
Indah laut kebiru-biruan,
Indah Ramadan beroleh keinsafan,
Indah Syawal kita bermaaf-maafan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.