Dakwaan UMNO Tergelincir Landasan Perjuangan Sekadar Tohmahan – Jalaluddin

KUALA LUMPUR, 8 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jalaluddin Alias menegaskan segala tohmahan dan dakwaan bahawa UMNO hari ini tergelincir landasan perjuangannya gara-gara berada di dalam Kerajaan Perpaduan adalah dakwaan yang sama sekali tidak berasas.

Beliau seterusnya menambah prinsip teras perjuangan parti sebenarnya tetap kekal utuh dan masih terpahat kemas sejak daripada dahulu hinggalah ke saat ini.

“UMNO tidak lari daripada prinsip dan perjuangan parti, perjuangan teras, prinsip teras yang dibawa oleh UMNO sejak 78 tahun yang lalu, kita dah 78 tahun dan tak pernah lari sama ada kita memegang kuasa secara dominan, ataupun ketika kita menjadi pembangkang dan kita berada di dalam kerajaan atau sebahagian daripada kerajaan hari ini maka prinsip tetap sama.

“Kita memperjuangkan hal ehwal agama Islam, memperjuangkan kepentingan orang Melayu serta memperjuangkan soal masyarakat daripada pelbagai kaum dan bangsa, ini masih kita teruskan waima prinsip itu tidak diterima atau pun tidak boleh diterima 100 peratus oleh rakan kongsi kita di dalam kerajaan sekarang… itu perkara kedua.

“Kerana itu kita dapat lihat apa-apa kenyataan yang dibuat oleh pemimpin di dalam parti rakan kerjasama jika bertentangan dengan prinsip perjuangan kita maka kita akan suarakan walaupun kita duduk bersama di dalam kerajaan,” katanya kepada UMNO Online.

Tegas beliau apa-apa kenyataan yang menyentuh kepentingan perjuangan UMNO maka pimpinan sama sekali tidak akan bersetuju.

“Soal yang berkaitan dengan kepentingan orang Melayu, apatah lagi soal yang berkaitan dengan Raja-Raja Melayu, soal yang berkaitan dengan kepentingan agama termasuk soal yang berkaitan dengan hak-hak kepada orang Melayu, ini tak boleh mereka sentuh dan apabila mereka mempertikaikan itu, mereka harus bersedia untuk menerima tentangan daripada pemimpin UMNO, ‘no compromise’.

“Jadi saya fikir itu tidak boleh ditolak ansur, apatah lagi kalau kita lihat dan tengok sekarang ini pemimpin UMNOlah menjadi antara pemimpin yang terhadapan dalam membela masyarakat luar bandar termasuk masyarakat Felda dan ini diterima baik oleh pihak mereka,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.