Ramadan Bulan Tarbiah, Syawal Bulan Kemenangan Yang Dinanti – Sharkar

KUALA LUMPUR, 6 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin mengajak seluruh umat Islam memanjatkan rasa syukur ke-hadrat Allah SWT kerana telah mengharungi Ramadan Al-Mubarak dengan pelbagai pengisian.

Menurut beliau kedatangan Aidilfitri nanti merupakan hari kemenangan kepada umat Islam selepas sebulan melalui madrasah Ramadan dan ruang yang ada perlu disahut dengan sebaiknya dalam usaha mengeratkan tali silaturahim serta ukhuwah kekeluargaan antara satu sama lain.

“Syabas dan tahniah kepada seluruh umat Islam yang berjaya harungi madrasah Ramadan, dan pada Syawal nanti seluruh umat Islam meraikan bulan kemenangan. Sebulan menerusi tarbiah Ramadan, kedatangan bulan Syawal yang merupakan bulan kemenangan umat Islam adalah sesuatu yang amat-amat dinantikan.

“Kehadiran Aidilfitri yang disambut dengan keluarga tersayang sudah pasti memberi makna yang cukup manis dan amat besar kepada semua dan sama-sama berdoa agar segala amal diterima.

“Mudah-mudahan kita melalui madrasah Ramadan yang sebulan lalu dengan nilai ketakwaan yang tinggi. Selamat Hari Raya Aidilfitri dan maaf zahir batin,” katanya kepada UMNO-Online.

Beliau seterusnya mengingatkan agar mereka yang memerlukan serta golongan yang tidak bernasib baik agar tidak sama sekali dilupakan ketika menyambut kedatangan Aidilfitri kelak.

“Saya mahu mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua muslimin dan muslimat yang berada di tanah air dan juga di luar negara khususnya kepada warga UMNO di seluruh negara.

“Tidak dilupakan juga kepada warga perantau yang akan pulang ke destinasi masing-masing. Berhati-hati di jalan raya dan moga-moga kita semua sentiasa di bawah lindungan Allah SWT, insya-Allah,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.