Kurniawan Sifatkan Cadangan Ketua Pemuda PBS Tidak Matang

KOTA KINABALU, 7 April – Cadangan Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS), Christopher Mandut meminta kerajaan negeri mengeluarkan sekatan larangan terhadap Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh memasuki Sabah merupakan bersifat tidak matang.

Ketua Pemuda UMNO bahagian Kinabatangan, Mohd Naim Kurniawan Moktar berkata, Christopher Mandut perlu menyelidik dahulu sesuatu isu berkenaan sebelum mengemukakan cadangan yang dangkal serta disifatkan tidak masuk akal.

Katanya, kehadiran Dr. Akmal Saleh di Sabah baru-baru ini semuanya adalah di atas jemputan pihak tertentu sekali gus beliau disambut mesra oleh seluruh lapisan rakyat di negeri ini.

“Rakyat Sabah dilihat sangat matang dalam mencerna isu berkaitan yang diperjuangkan oleh Dr. Akmal Saleh khususnya bagi mempertahankan kalimah Allah daripada direndahkan darjatnya oleh pihak tertentu.

“Sekiranya jika mahu melarang Dr. Akmal Saleh daripada memasuki Sabah dicadangkan adalah lebih baik mengeluarkan larangan terlebih dahulu mereka yang sengaja mencetuskan isu ini daripada memasuki Sabah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau mengulas kenyataan media Ketua Pemuda PBS, Christopher Mandut mendakwa Sabah tidak mengalu-alukan sebarang cubaan untuk memecah-belahkan rakyat di negeri ini.

Menurutnya, rakyat Sabah tidak mahu politik sebegitu dibawa masuk ke Sabah serta apa yang berlaku di Semenanjung harus kekal di sana.

Mengulas mengenai isu terbabit Mohd Naim merupakan Bendahari Pemuda UMNO Malaysia berkata, pemimpin seperti Christopher Mandut perlu keluar dan bergaul dengan pemimpin dari latar belakang yang berbeza agar pandangan lebih meluas dan tidak mudah terpengaruh.

“Sekali lagi saya ingatkan kepada Christopher Mandut jangan terlalu muda untuk mengeluarkan kenyataan yang disifatkan tidak masuk akal sekali gus menyekat hak Dr. Akmal Saleh daripada memasuki Sabah.

“Masyarakat di Sabah sangat matang tidak akan terikut-ikut budaya politik apa lagi memecah-belahkan rakyat di negeri ini,” jelas Mohd Naim.

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.