Aidilfitri: Berhemah Di Jalan Raya, Gunakan Kesempatan Ziarah Ibu Bapa Sanak Saudara

KUALA LUMPUR, 7 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Johan Abdul Aziz berharap rakyat Malaysia yang pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri supaya berhati-hati di jalan raya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua berkata, ini kerana kepulangan mereka semestinya ditunggu-tunggu oleh ahli keluarga tercinta bagi sama-sama meraikan hari berbahagia ini.

“Selamat Hari Raya Aidilfitri maaf zahir dan batin kepada semua… yang pulang ke kampung berhati-hati di jalan raya.

“Gunakan kesempatan ini untuk menziarahi ibu bapa dan sanak saudara. Bermaafanlah bersama dengan keluarga.

“Semoga perjalanan pergi dan balik selamat ke destinasi yang dituju. Dan saya iringkan doa, semoga semuanya sihat-sihat belaka.

“Jika ada apa salah dan kekurangan saya saya menyusun sepuluh jari mohon kemaafan,” katanya.

Terdahulu, kerajaan memaklumkan kemudahan tol percuma selama dua hari pada 8 dan 9 April ini kepada semua pengguna lebuh raya yang akan pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri tahun ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pengecualian tol akan diberikan di semua plaza tol kecuali di sempadan negara, iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor.

Beliau berkata, pemberian tol percuma itu akan dilaksanakan di semua lebuh raya bermula pada jam 12.01 tengah malam, 8 April (Isnin) dan akan berakhir pada 11.59 malam, 9 April (Selasa) dengan peruntukan bayaran pampasan berjumlah RM37.6 juta. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.