Ziarah Kasih: Noraini Serah Bantuan, Harap Ringankan Beban Sambut Aildilfitri

HULU LANGAT, 5 April – Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad telah menziarahi keluarga gelandangan yang pernah tular sebelum ini untuk memberikan sumbangan di samping mengharapkan ia dapat meringankan beban mereka bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO turut memaklumkan bahawa ini adalah ziarah susulan daripada lawatan yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebelum ini.

“Program ini adalah lawatan kami menziarah satu keluarga yang baru-baru ini telah tular menjadi gelandangan di sekitar Bangi. Ini adalah lawatan susulan yang telah dilaksanakan oleh JKM. JKM telah membuat siasatan dan hasil daripada laporan tersebut, hari ini kami menziarah keluarga ini.

“Semasa lawatan ini, selain bantuan berbentuk kotak-kotak makanan yang telah diberikan oleh pelbagai pihak, contohnya Squad Sayang 3K, Yayasan Kebajikan Negara dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kami juga telah memberikan bantuan dalam bentuk tunai.

“Tunai ini kita kumpulkan daripada ketiga-tiga badan ini, badan bukan kerajaan (NGO) dan juga daripada UKM serta JKM. Kami berharapan ia dapat meringankan beban yang sedang dialami oleh keluarga berkenaan. Sebab kita pun dah nak raya, kita harap ia dapat bantu sedikit sebanyak,” katanya kepada UMNO Online.

Selain itu, Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr Mohd Ekwan Toriman memaklumkan bahawa bantuan yang diberikan oleh institut pengajian tersebut adalah hasil daripada pusat zakat.

“Alhamdulilah, hari ini UKM kerjasama dengan Datuk Seri Dr Noraini yang menghubungi kami untuk membantu sebuah keluarga. Apa yang telah kami lakukan adalah memberi bantuan melalui pusat zakat yang sentiasa bersedia untuk membantu keluarga asnaf dan kurang berkemampuan terutamanya keluarga B40.

“Kami telah berjaya memberikan tunai kepada pihak kementerian untuk disumbangkan. Ia adalah hasil zakat dan berjumlah RM1,000. Begitu juga dengan bakul makanan, sumbangan dalam itu semua ialah peralatan dan makanan asas yang telah pun kita sediakan dan boleh mobilise at any time.

“Harapan kami dengan sedikit sumbangan ini boleh mengurangkan beban keluarga tersebut dan juga membantu pihak kerajaan, especially dalam keadaan sekarang ini… apabila ramai umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri, ia dapat mengurangkan sedikit beban. Sekiranya ada apa-apa lagi yang boleh universiti bantu, Insya-Allah kita akan bantu sedaya upaya kita,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam pada itu, Pengarah JKM Negeri Selangor, Azmir Kassim yakin bahawa dengan sokongan daripada banyak pihak, keluarga tersebut akan dapat kembali menjalani hidup mereka seperti sediakala.

“Hari ini kita buat lawatan untuk melihat, selain daripada bantuan yang Datuk Seri Dr Noraini sudah serahkan tadi, kita juga ingin melihat untuk membantu anak-anak kepada klien berkenaan. Kita dapati ada dua, tiga orang anak mereka yang tidak mempunyai dokumen seperti surat beranak dan sebagainya.

“Jadi, kita akan membantu anak-anak tersebut untuk mendaftarkan diri Jabatan Pendaftaran Negara untuk proses surat berana. Keduanya, kita akan melihat dari segi persekolahan mereka pula. Daripada perbualan tadi, kita dapat tahu bahawa mereka tidak bersekolah. Jadi, kita akan berhubung dengan Jabatan Pendidikan Daerah di sini untuk memastikan mereka dapat kita masuk ke sekolah.

“Bagi saya apa yang penting adalah keluarga itu perlu mempunyai fokus untuk berubah sikap dulu dan daripada situ banyak pihak yang boleh membantu sekiranya kita ingin mengubah nanti hidup kita. Saya yakin dengan sokongan daripada banyak pihak, kita mampu untuk bawa perubahan kepada keluarga tersebut,” katanya kepada UMNO Online.

Sebelum ini media melaporkan lima kanak-kanak berusia tiga hingga 11 tahun terpaksa melalui kepayahan hidup sebagai gelandangan dengan tinggal di merata tempat sejak hampir tiga minggu lalu.

Kanak-kanak berkenaan bersama ibu dan bapanya, bukan saja perlu menumpang di rumah saudara mara, malah pernah berteduh di kaki lima.

Situasi sukar dihadapi keluarga itu dikongsi Pasukan Operasi Agihan Daerah Hulu Langat Lembaga Zakat Selangor, yang menjalankan tinjauan dan operasi bagi menjejaki keluarga berkenaan di sekitar Bandar Baru Bangi di Selangor baru-baru ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.