Terima Kunjungan… Semoga Hubungan Malaysia-Indonesia Terus Kukuh, Kekal Aman – Khaled

KUALA LUMPUR, 5 April – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mendoakan semoga hubungan antara Malaysia dan Indonesia terus diperkukuh dan rantau ini kekal aman, stabil serta makmur.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau telah menerima kunjungan daripada Menteri Pertahanan Republik Indonesia, TYT Jeneral (Purn) Prabowo Subianto, di Kementerian Pertahanan Malaysia, semalam.

“Satu penghormatan hari ini menerima kunjungan Menteri Pertahanan Republik Indonesia, TYT Jeneral (Purn) Prabowo Subianto, di Kementerian Pertahanan Malaysia. Lawatan ini menandakan pertemuan pertama saya dengan Pak Prabowo sejak saya mengambil alih jawatan Menteri Pertahanan.

“Saya mengambil kesempatan pertemuan ini untuk menzahirkan ucapan tahniah saya atas kejayaan beliau semasa Pemilihan Umum Presiden Indonesia (Pilpres) 2024. Saya yakin, cukup ramai rakyat Malaysia mengikuti dengan rapat perkembangan Pilpres baru-baru ini,” katanya.

Menurutnya, pertemuan tersebut telah membincangkan pelbagai perkara berkaitan keselamatan dan keamanan negara.

“Semasa pertemuan tersebut, pelbagai perkara berkenaan keselamatan dan keamanan telah dibincangkan. Namun paling utama, kedua-dua kami bersetuju bahawa Malaysia dan Indonesia akan kekal komited dalam memperkukuh kestabilan rantau ini.

”Saya menaruh harapan pada kepresidenan beliau, dan saya yakin bahawa sosok hebat ini mampu membawa hubungan antara dua negara ke tahap yang lebih tinggi. Lebih-lebih lagi, Malaysia tidak asing buat Pak Prabowo yang pernah bersekolah di sini.

“Semoga hubungan antara Malaysia dan Indonesia dapat terus diperkukuh, dan rantau ini kekal aman, stabil, dan makmur,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.