Menjelang Aidilfitri, Raikanlah Dengan Penuh Keinsafan Dan Kegembiraan

KUALA LUMPUR, 5 April – Aidilfitri ialah hari anugerah dan penghargaan daripada Allah SWT kepada umat Islam sebagai tanda kemenangan menjalani ibadah puasa di sepanjang bulan Ramadan.

Bagi Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang juga Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching berharap agar rakyat terutama orang Islam menyambut hari raya ini dengan penuh kegembiraan bersama keluarga tercinta.

“Saya mengucapkan selamat berpuasa dan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang tidak lama lagi. Mudah-mudahan dapat meraikan dengan penuh kegembiraan dan juga rasa bahagia bersama keluarga dengan perpaduan sesuai dengan Kerajaan Malaysia Madani dan juga Kerajaan Perpaduan,” katanya. 

Sementara itu bagi Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah Datuk Saiful Hazizy Zainol Abidin turut mengucapkan selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh ahli UMNO di seluruh negara termasuk rakyat Malaysia.

“Saya doakan semoga hari raya tahun ini semuanya akan berjalan dengan baik dan lancar. Kita rayakan hari raya ini dengan semangat dan bersyukur dengan apa yang telah dilalui. Alhamdulillah… parti UMNO sudah semakin baik, menghala ke jalan hala tuju yang sebenarnya dan betul.

“Pada rakyat yang hendak pulang ke kampung meraikan Aidilfitri, saya mohon kepada seluruh rakyat berhati-hati memandu di jalan raya. Jangan gopoh dan banyak bersabar, insya-Allah… kita doakan agar semuanya selamat sampai ke destinasi,” jelas beliau.

Terdahulu, tarikh melihat anak bulan Syawal telah ditetapkan pada petang 9 April di 29 lokasi seluruh negara.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja akan memaklumkan tarikh Hari Raya Aidilfitri yang ditetapkan akan diisytiharkan pada malam itu melalui radio dan televisyen. – UMNO Online 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.